KUALA LUMPUR, 21 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada bagi tujuan itu.
Beliau berkata, kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Laos, Myanmar, Thailand serta Kemboja.
“Kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu ini seperti yang disuarakan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO),
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa-mangsa sindiket bagi mendapatkan maklumat terperinci, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” ujarnya. – airtimes.my