Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 4 PATI Indonesia, ditemui terapung di Perairan Klang

APMM tahan 4 PATI Indonesia, ditemui terapung di Perairan Klang

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 21 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor berjaya menyelamat serta menahan 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditemukan terapung kira-kira 0.7 batu nautika Pulau Pintu Gedong, semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bharu berkenaan aduan awam bahawa terdapat 4 orang ditemukan terapung di lokasi berkenaan sekitar jam 2.15 petang.

“Sebelum pasukan operasi tiba, keempat-empat mangsa didapati telah diselamatkan oleh sebuah kapal pandu (pilot boat) milik Pelabuhan Klang,

“Hasil pemeriksaan mendapati, 4 lelaki warga Indonesia dalam lingkungan umur 26 hingga 43 tahun itu cuba dibawa keluar dari Malaysia tetapi terkandas di Pulau Che Mat Zin kerana ditipu oleh ejen sindiket penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Siva berkata, kesemua mangsa nekad berenang menyeberangi laut untuk ke Pulau Indah setelah 4 hari ditinggalkan tanpa makanan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua PATI yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Selangor untuk tindakan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan passport atau dokumen perjalanan serta permit masuk yang sah kepada penguat kuasa,” ujarnya.

Katanya, orang awam boleh menyalurkan sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut dengan menghubungi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply