KOTA TINGGI, 20 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menghentikan operasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sebuah bot membawa 10 pendatang tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang didakwa karam di perairan Tanjung Penyusop, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, operasi berkenaan dihentikan jam 7.30 malam selepas pihaknya tidak menemui sebarang bukti atau petunjuk kejadian itu benar-benar berlaku.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan panggilan diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengenai bot tersebut adalah palsu.
Katanya, terdahulu pada jam 4 pagi, MRSC Johor Bahru telah menerima satu aduan mengenai kejadian bot karam di kedudukan 9.5 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop.
“Aduan yang diterima daripada pengadu yang merupakan warga Indonesia mendakwa beliau bersama 9 lagi warga Indonesia berada di dalam bot pancung dan telah karam di sekitar perairan Batu Puteh,
“Berikutan itu, pihak MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi SAR pada jam 4.05 pagi tadi dengan mengatur gerak sebuah kapal dan bot ronda milik APMM ke lokasi kejadian,
“Sehingga jam 7.30 petang, hasil pemantauan dan pencarian di lokasi dengan keluasan 26.52 batu nautika persegi menunjukkan tiada sebarang penemuan atau bukti berlakunya kejadian bot karam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pihak berkuasa Singapura dan Indonesia juga tidak melaporkan mengenai sebarang kejadian bot karam seperti yang diterima oleh pihak MRSC Johor Bahru.
“Operasi SAR telah ditamatkan pada jam 7.30 petang tadi dan pemantauan di lokasi akan diteruskan oleh aset APMM yang melakukan rondaan penguatkuasaan di laut,
“Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai jenayah rentas sempadan di laut ke talian kecemasan MERS 999 atau talian pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401,” ujarnya. – airtimes.my