KUALA LUMPUR, 14 Sept – Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini menggesa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun agar membuang sahaja perkataan ‘wanita’ dalam kementeriannya.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, gesaan itu dibuat ekoran tindakan Rina yang hanya tersenyum dalam satu video tular dan dianggap merendah-rendahkan kaum wanita.
“YBM, elok @KPWKM ditukar kepada ‘Kementerian Pembangunan Keluarga’, buang je perkataan ‘wanita’. Senang kerja,
“Rugi semua usaha Kementerian dalam isu Menentang Keganasan terhadap wanita bagai Mencurah Air ke Daun Keladi. Kesian,” ciapanya di laman Twitter beliau hari ini.
Azalina berkata demikian bagi merujuk kepada satu video yang memaparkan Rina dan pegawai KPWKM bersama pelakon serta usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor mempersendakan golongan wanita dengan menggunakan ayat kurang sopan seperti ‘suka bangun lambat’ yang dimuat naik di akaun media sosialnya.
Video tersebut turut mendapat reaksi daripada Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh yang sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi sedemikian rupa.
“Cukuplah 3 tahun menjadikan KPWKM ini sebagai bahan gurauan. Saya sedih melihat agensi, pegawai kerajaan dan kumpulan sasar KPWKM digunakan seperti ini,
“Kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob betul-betul serius mengenai perjuangan Keluarga Malaysia, gugurkanlah menteri sebegini yang memperlekehkan peranan wanita,
“Yang harus ‘bangun daripada tidur’ adalah Rina Harun dan Timbalan Menteri beliau (Siti Zailah Yusoff dari PAS). 3 tahun sudah melebihi probation period (tempoh percubaan) untuk mereka ‘bangkit’ buat kerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular satu video memaparkan Rina bersama pegawai KPWKM berada di belakang Rosyam Nor yang mempersendakan golongan wanita dengan menggunakan ayat kurang sopan seperti ‘suka bangun lambat’, ‘wanita semua lambat’, ‘aku nak belasah kepala korang’.
Klip pendek itu bersempena Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula esok.
Hannah berkata kepimpinan ketua wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu jauh berbeza dengan ikon menteri wanita Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika era pentadbiran PH pada 2018.
“Rina tidak dibayar gaji beribu-ribu setiap bulan oleh rakyat hanya untuk beliau membuat program,
“Rakyat bayar gaji menteri bukan untuk buat kerja ‘event organiser’. Rina tidak perlu membuat kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Mereka lebih mahir dalam bab ini,” sindir Hannah. -airtimes.my