TELUK RAMUNIA, 14 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mengagalkan cubaan penyeludupan 9 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia di Teluk Ramunia, pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, 9 PATI dan seorang tekong laut itu berjaya dikesan oleh anggota Quick Reaction Force (QRF) ketika sedang bersembunyi di pinggir hutan di kawasan tersebut.
“9 PATI yang diberkas merupakan 5 orang PATI yang baru tiba dari Indonesia dan selebihnya adalah mereka yang ingin pulang ke negara asal,
“Semua yang ditahan terdiri daripada 6 orang lelaki dan 3 wanita berumur antara 25 hingga 54 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
“Tahanan kemudian dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi serta laporan kepada pihak polis,” jelas kenyataan itu.
Seterusnya, kesemua PATI telah dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit untuk membuat ujian saringan COVID-19 dan keputusannya adalah negatif.
“Tekong laut dan 5 PATI serta sebuah bot fiber telah diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut,
“Manakala, 4 PATI yang ingin pulang ke Indonesia akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Johor Baharu untuk tindakan selanjutnya,” tambah Markas 3 Div.
Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM23,081.90 melibatkan wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Indonesia, sebuah bot fiber bersama sebuah enjin jenis OBM 40 hp, barangan kemas serta 11 buah telefon bimbit yang terdiri dari pelbagai jenama.
Menurut 3 Div, pihaknya akan meneruskan aturgerak Tim QRF dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my