Home Semasa Terserah pemilik premis untuk wajibkan pemakaian pelitup muka kepada pengunjung – KJ

Terserah pemilik premis untuk wajibkan pemakaian pelitup muka kepada pengunjung – KJ

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka di kawasan dalam bangunan.

“Berdasarkan penilaian dan situasi semasa COVID-19 serta keperluan semasa, Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) ingin mengumumkan pemakaian pelitup muka dalam kawasan dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan,

“Pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup atau memilih memakai pelitup muka,” kata Khairy dalam satu sidang media, hari ini.

Menurut beliau, terserah kepada pemilik premis untuk menentukan sama ada untuk mewajibkan atau memberi pilihan kepada pengunjung untuk memakai pelitup muka.

Tambahnya, protokol ini berkuatkuasa dengan serta-merta.

“Terserah kepada pemilik premis, kalau pemilik buat keputusan nak wajibkan, pengunjung mesti ikut kehendak pemilik premis,

“Mereka ada hak untuk tidak benarkan pelanggan untuk masuk ke premis. Kita serah kepada premis untuk membuat penentuan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan menyatakan pemakaian pelitup muka masih lagi wajib untuk dalam beberapa keadaan.

Antaranya, individu yang didapati positif COVID-19 serta individu yang mempunyai gejala demam, batuk atau selsema.

“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan apabila menggunakan pengangkutan awam termasuk e-hailing,

“Selain itu, pelitup muka wajib dipakai semasa berada di fasiliti kesihatan dan penjagaan seperti klinik, hospital, pusat jagaan, pusat hemodialisis dan setara,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan orang ramai masih digalakkan untuk terus memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak orang ramai dan juga melakukan aktiviti dengan individu berisiko tinggi.

“Individu berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik, ibu mengandung dan immuniti rendah digalakkan untuk memakai pelitup muka,” kata Khairy.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kelonggaran ini tidak  bermakna penguatkuasaan semula protokol wajib pemakaian pelitup muka tidak akan dikuatkuasakan pada masa hadapan.

“Kelonggaran ini tidak bermaksud ia tidak dikuatkuasakan sekiranya Covid-19 bertambah buruk dalam negara kita,

“KKM sentiasa memantau situasi semasa COVID-19 dalam dan luar negara,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply