Home Pertahanan dan Keselamatan Hikayat Armada Siri 3: Pilihan terakhir untuk LCS dan 15-to-5

Hikayat Armada Siri 3: Pilihan terakhir untuk LCS dan 15-to-5

by M.Daim

Isu keuzuran aset armada dan keupayaan TLDM yang terhad kepada 3 buah kapal kombatan merupakan antara perkara yang dikupas dalam 2 siri Hikayat Armada. Siri Pertama artikel boleh diakses pada pautan ini manakala Siri Kedua pula adalah di sini.

Pada kali ini, penulis ingin mengupas serba sedikit tentang LCS dan 15-to-5.

Pelan Transformasi 15-to-5 (15-to-5) merupakan perancangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilancarkan pada dekad lalu bagi menyusun dan mengemaskini kekuatan serta keupayaan armada. Matlamat utama pelan ini adalah untuk membentuk satu ketumbukan armada yang tersusun dan ampuh. Di samping itu, TLDM dilengkapi dengan aset serta kelengkapan yang selari dengan keperluan semasa.

Pelan Transformasi 15-to-5 secara ringkas

Di bawah pelan ini, TLDM akan menyusun 15 buah kelas kapal yang sedia ada kepada 5 buah kelas kapal. Kelima-lima kelas baharu ini bukanlah sesuatu yang baharu dan ianya sudah diketahui umum. Namun, demi kefahaman semua, adalah wajar kita mengimbau sedikit 5 kelas baharu yang digariskan dalam Pelan Transformasi 15-to-5 secara ringkas.

Mengikut perancangan pelan transformasi ini, ketumbukan armada TLDM adalah terdiri daripada 4 buah kapal selam, 12 buah Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dan 3 buah Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (Multirole Support Ship, MRSS).

Operasi ketiga-tiga jenis vesel ni disokong oleh 18 buah Kapal Peronda Generasi Baharu (New Generation Patrol Vessel, NGPV) dan 18 buah Kapal Misi Pesisir (Littoral Misson Ship, LMS). Kedua-dua jenis kapal ini pada mulanya direka untuk sebagai sebuah vesel yang modular di mana ia boleh dipasang dengan sistem persenjataan dan diubah suai sebagai sebuah kapal kombatan kecil (kovet).

Masa hadapan kekuatan Armada TLDM bergantung dengan kejayaan 15-to-5 dan juga perolehan LCS. Foto: TLDM/MPA Timur

Sehingga kini, perolehan yang telah dilaksanakan adalah 6 buah kapal LCS dan 4 buah kapal LMS. Selain daripada itu, NGPV dalam pelan transformasi ini pula dilihat kepada kesinambungan 6 buah kelas KEDAH.

Perolehan LCS pula, seperti yang kita sedia maklum telah mengalami kelewatan yang nyata.

Sementara itu, komitmen kerajaan dalam melaksanakan perolehan kumpulan pertama 4 buah LMS pada sekitar tahun 2017-2018 telah pun selesai direalisasikan pada awal tahun 2022. Pada ketika ini, keempat-empat LMS sedang dioperasikan oleh TLDM dan sedang giat mempertahankan kedaulatan perairan negara di bahagian timur Malaysia.

Pelan Transformasi 15-to-5 merupakan rancangan strategik untuk memperkemaskan aset armada TLDM sebagai satu kekuatan yang ampuh.

Pun begitu, realiti yang perlu dihadapi oleh Malaysia dan TLDM pada ketika ini adalah kita hanya mempunyai 3 buah kombatan untuk menjaga kedaulatan perairan negara, seperti yang dinyatakan dalam siri pertama Hikayat Armada.

Selain daripada itu, perolehan 6 buah kapal LCS sudah pun mengalami kelewatan dan usaha untuk mobilisasi meneruskan projek ini masih lagi berjalan.

Difahamkan, Pelan Transformasi 15-to-5 bukan sekadar melibatkan perolehan dan penjajaran semula aset armada TLDM. Perancangan ini turut merangkumi pengukuhan sumber manusia (Navy People) dan proses.

Pelan Transformasi 15-to-5 akan dikupas secara teliti dalam siri berlainan pada masa hadapan.

Pilihan seterusnya untuk LCS? 

Mengimbau semula ucapan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Negara pada Ogos lalu, beliau memberikan jaminan bahawa projek LCS tetap diteruskan.

Jaminan oleh beliau merupakan satu kelegaan yang pertama untuk nasib projek LCS. Secara tidak langsung, ianya menyatakan perolehan LCS tetap diteruskan. Tambahan pula, kapal ini Pun begitu, masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan oleh beliau bagi memastikan perolehan ini berjalan.

Selain itu, persoalan sama ada projek perolehan ini dibatalkan atau tidak sudah pun terjawab. Pembatalan projek ini sudah tentu memberikan kesan ekonomi kerana ia melibatkan kumpulan-kumpulan vendor tempatan. Malah, sebarang kegagalan untuk melaksanakan projek LCS ini akan menyebabkan kekuatan TLDM sekali lagi terganggu dan ianya akan membahayakan kedaulatan negara.

Terbaharu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan Perancis bagi memastikan perolehan LCS dilaksanakan.

Jadi, projek perolehan LCS wajar dilaksanakan demi memenuhi keperluan TLDM. Malah, kapal ini merupakan komponen penting dalam perancangan 15-to-5.

Selain daripada itu, adalah wajar pihak kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan melihat kehadapan dalam melaksanakan perolehan baharu buat TLDM. Untuk LCS, sudah tiba masanya pengadilan dibuat dan ianya terletak di bahu pihak penguatkuasa dan perundangan.

Namun, perolehan ke hadapan untuk kekuatan armada wajar dilakukan dengan teliti tanpa mengabaikan keperluan yang digariskan oleh pengguna akhir iaitu TLDM. – airtimes.my

Nantikan artikel seterusnya pada 12 September 2022.

Related Articles

Leave a Reply