KUALA LUMPUR, 5 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa siasatan sedang dilakukan dan masih giat dijalankan berhubung penglibatan beberapa individu di Kuwait berkaitan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya berkata demikian merujuk kepada dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan melibatkan beberapa individu berkenaan.
“SPRM sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset dan wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB serta beberapa syarikat lain yang terlibat,
“Setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, sejak 2 tahun lalu, SPRM telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.
“Ketika ini, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA). Perkara tersebut masih lagi dalam kajian pihak Kuwait,
“Dalam pada itu, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai 2022, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara,
“Semua pihak dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan,” ujarnya. – airtimes.my