KOTA SAMARAHAN, 5 Sept – Ketua Pengarah Operasi dan Latihan, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Mejar Jeneral Hassan Embong dilantik sebagai Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) ke-29.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Div dalam kenyataan berkata, Hassan menggantikan Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa yang akan menjalani latihan peralihan sebelum bersara wajib pada Februari 2023.
Majlis serah terima tugas Panglima 1 Divisyen diadakan di Padang Kawad Kem Muara Tuang yang disaksikan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, hari ini.
Perbarisan serah terima tugas terdiri daripada 27 pegawai dan 461 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Shafiron Saad.
Turut hadir, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latif; Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Shauri Mat Piah dan Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid.
Hassan dilahirkan pada 29 Oktober 1965 di Mersing, Johor dan memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1985, seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 4 Oktober 1986.
Batalion Ke-27 Rejimen Askar Melayu Diraja (27 RAMD) merupakan unit pertama perkhidmatan beliau.
Di sepanjang hampir 37 tahun usia perkhidmatan, Hassan menyandang pelbagai jawatan penting dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selain banyak menghadiri kursus-kursus strategik di dalam dan luar Negara.
Seterusnya, Hassan telah dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral pada 30 Ogos 2022 dan telah menjawat jawatan sebagai Panglima 1 Divisyen ke-29 yang mana sebelum ini beliau merupakan Ketua Pengarah Operasi dan Latihan, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Kem Muara Tuang. – airtimes.my