[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=KEVjIBQilrk[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Kapal Diraja (KD) LEKIR milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengharumkan nama negara selepas menamatkan Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Hawaii, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Eksesais multilateral terbesar di dunia itu disertai oleh 29 buah negara melibatkan kira-kira 41 buah kapal perang dengan penyertaan 25,000 anggota seluruh dunia.
KD Lekir turut berjaya membuktikan kesiapsiagaan kapal menerusi penembakan peluru berpandu yang juga merupakan penembakan pertama dilaksanakan di luar perairan negara.
Pegawai Memerintah KD LEKIR, Komander Mohd Asri Dasman berkata, perkara paling berharga sepanjang eksesais ini adalah pelaksanaan kerja sepasukan yang diterapkan sebelum pergi ke Hawaii sehingga ia memberikan hasil yang positif.
“Pengalaman berada di perantauan melebihi 3 bulan mengharungi lautan pasifik yang amat luas dengan kekangan aset dan sumber, tidak mematahkan semangat kami untuk menjayakan misi ke Hawaii,
“Perkara yang paling berharga adalah kejayaan misil dan juga penglibatan dalam hampir kesemua latihan yang telah dirancangkan semasa di Hawaii,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Kepulangan KD LEKIR di Tambatan Pangkalan Lumut, pada Sabtu.
Tegasnya, walaupun kekurangan dari segi aset, namun keupayaan kapal TLDM tetap setanding dengan angkatan laut yang lain di persada dunia apabila telah berjaya menyertai RIMPAC 2022 lalu.
“Kalau kita hendak bandingkan kapal TLDM dengan tentera laut Amerika Syarikat, Kanada dan Australia kita memang masih jauh,
“Tapi kalau boleh bandingkan dengan negara Asian seperti Indonesia dan Singapura, kita tidak ketinggalan. Kita tetap mampu bersaing sama mereka,” ujarnya.
Mohd Asri menjelaskan, TLDM sememangnya memerlukan keperluan aset-aset moden dan terkini dalam menghadapi cabaran dimensi peperangan yang semakin canggih.
Tambahnya, keperluan aset-aset moden dan canggih amat diperlukan bagi menjamin keselamatan serta menghalang anasir negatif yang menganggu-gugat perairan negara.
“Seperti yang dijelaskan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis, keperluan aset-aset yang terkini dan moden adalah penting,
“Dengan dimensi peperangan yang semakin sukar dan peralatan yang semakin canggih. TLDM tidak boleh menggunakan peralatan yang telah berusia lebih 10 atau 20 tahun untuk menangani masalah tersebut,
“Sekiranya semua ini kalau boleh diadakan oleh pihak atasan, ia bukan sahaja menaikkan imej negara malahan kita boleh menjamin keselamatan perairan dari anasir negatif yang menganggu-gugat negara kita,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai tembakan misil di Hawaii, Mohd Asri memaklumkan, persediaan dan latihan berterusan menjadi faktor kejayaan misi kali ini.
“Pelaksanaan dan prosedur untuk tembakan misil di Hawaii sama seperti sebelum ini. Sama ada sasaran kapal besar atau kecil ia sesuatu benda yang tidak boleh diubah. Penggunaan peluru berpandu yang sama digunakan semasa tembakan yang sebelum ini,
“Jadi kami sentiasa belajar dari pelaksanaan tembakan yang lepas bagi mempertingkatkan keupayaan kru dan aset,
“Setiap kali ujian penembakan misil dilakukan, semestinya ada perkara baharu yang kita belajar. Terutamanya dari segi keupayaan misil, kedaaan cuaca dan jarak selain saiz target turut memberi kesan kepada kebolehan misil untuk menghasil tembakan yang baik,
“Eksesais ini memberikan satu pengalaman yang berharga dan tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Saya rasa bersyukur dan gembira kerana kru dapat melaksanakan dengan baik,” ujarnya.
KD LEKIR yang menyertai RIMPAC 2022 di kepulauan Hawaii telah selamat tiba di Tambatan Pangkalan Lumut, semalam. Ketibaan kru KD LEKIR disambut oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis bersama ahli keluarga yang menanti kepulangan ‘hero’ mereka.
KD LEKIR telah memulakan pelayarannya ke Hawaii pada 31 Mei lalu.
Penyertaan KD LEKIR ini adalah merupakan penglibatan kali kedua TLDM setelah kejayaan pelayaran kali pertama dilakukan pada tahun 2018 menerusi KD LEKIU dari Skuadron Frigat ke-23.-airtimes.my