Home Pertahanan dan Keselamatan Skandal LCS: Dr Abd Latiff selesai beri keterangan kepada polis

Skandal LCS: Dr Abd Latiff selesai beri keterangan kepada polis

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Polis telah merakam keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkaitan laporan polis yang dibuatnya terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurutnya, beliau didatangi pegawai polis semalam untuk diambil keterangan susulan laporan polis yang dibuat terhadap Rafizi oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau pada 30 Ogos lalu.

“Susulan laporan polis yang dibuat terhadap Rafizi Ramli oleh pegawai saya pada 30 Ogos lalu, saya sudah didatangi pegawai polis pagi tadi (1 Sept) untuk diambil keterangan,

“Saya tegaskan bahawa saudara Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah dan mentohmah saya dan keluarga saya hanya semata-mata untuk kepentingan politik,

“Ini adalah satu perbuatan keji yang dikutuk oleh al-Quran dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 191: Dan fitnah itu lebih kejam daripada pembunuhan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Abdul Latif sekali lagi menegaskan bahawa sebagai anggota Kabinet, beliau akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Pada 31 Ogos lalu, Dr Abdul Latiff dilaporkan membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Laporan polis itu dibuat pegawai khasnya, Sayed Ahmad Muizzuddin Al Sayed Mohamad, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook (FB), Twitter dan Tiktok.

Rafizi didakwa menfitnah Dr Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!