Home Semasa Teruja, sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka luar biasa

Teruja, sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka luar biasa

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=C_-iuR5rSns[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang disambut dalam skala besar pada tahun ini disambut dengan begitu meriah di Dataran Merdeka oleh Keluarga Malaysia.

Walaupun berbeza fahaman agama, bangsa dan budaya, jelas terpancar semangat perpaduan serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia semalam, kerana walaupun dalam keadaan bersesak-sesak, semua tetap setia menanti bagi menyaksikan acara perarakan.

Mengenakan pelbagai gaya pakaian yang diilhamkan berdasarkan warna Jalur Gemilang, semangat patriotik orang ramai tidak pernah luntur terutama selepas 2 tahun tidak dapat meraikan sambutan tahunan secara fizikal Hari Kebangsaan berikutan penularan wabak pandemik COVID-19.

Nor Baya Langhati yang hadir dengan memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang bersama suaminya Jamal Pawi melahirkan perasaan gembira kerana berpeluang menyaksikan semula perarakan itu di Dataran Merdeka walaupun tiba agak lewat.

“Saya sampai lebih kurang jam 8 pagi, tetapi tidak dapat masuk, kerana sangat penuh. Kami hanya berjalan-jalan di sekitar kawasan sini dan tengok dari jauh,

“Rasa sedih sebab sudah 2 tahun tidak menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan akibat COVID-19, hari ini dapat sambut jadi kami semangat sampai sanggup siapkan baju untuk anak-anak,

“Bila dapat masuk, anak-anak pun seronok dan gembira,” jelasnya ketika di temui pemberita di Dataran Merdeka, semalam.

Rasa sedih sebab sudah 2 tahun tidak menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan akibat COVID-19, hari ini dapat sambut jadi kami semangat sampai sanggup siapkan baju untuk anak-anak – Nor Baya Langhati

Suri rumah yang berasal dari Sabah itu turut menjelaskan kesemua baju mereka disiapkan dengan penuh semangat sepanjang bulan kemerdekaan ini.

“Baju saya dan anak-anak ditempah, beli dari orang dah siap berjahit,

“Manakala baju suami baru beli semalam, semata-mata hendak sambut Hari Kemerdekaan ini dan tunjukkan semangat Kemerdekaan,” jelas ibu kepada 7 cahaya mata.

Tambahnya, walaupun tiba agak lewat, beliau tetap menzahirkan rasa gembira dan teruja dengan sambutan kali ini.

“Saya sangat gembira dan teruja kerana sambutan kali ini lain dari pada yang lain. Dan setelah 2 tahun tanpa sambutan yang besar-besaran,

“Sebab sambut di Dataran Merdeka, kalau di Putrajaya mungkin kami tidak dapat pergi,” jelasnya.

Semalam, sambutan Hari Kebangsaan 2022 telah diadakan semula di Dataran Merdeka dengan kehadiran pengunjung mencecah lebih 100,000 yang datang seawal jam 5 pagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengunjung memenuhi kawasan perbarisan dan perarakan sepanjang 3 kilometer meliputi Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Raja Laut, selain sekitar Jalan Tun Perak.

Beliau turut menzahirkan rasa puas hati dengan kejayaan penganjuran sambutan kemerdekaan negara tahun ini, khususnya kelancaran persembahan dan perarakan yang membabitkan lebih 20,000 peserta serta 437 aset darat termasuk udara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply