Agenda Malaysia sebagai sebuah negara maritim mula dicetuskan oleh kerajaan ketika Rancangan Malaysia ke-4 (RMKe-4) pada pertengahan era 1980-an. Kedudukan Malaysia sebagai negara maritim merupakan satu faktor yang tidak dapat dinafikan lagi dengan melihat kedudukan tanah air kita yang dikelilingi dengan kawasan laut yang luas.
Kawasan daratan Malaysia pula terbahagi kepada dua wilayah utama iaitu Semenanjung Malaysia di barat dan Sabah serta Sarawak di timur. Kedua-dua wilayah daratan ini pula dipisahkan oleh kawasan Laut China Selatan. Secara kasar, keluasan kawasan perairan negara adalah 2 kali ganda dari keluasan kawasan daratan.
Tugas untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara pula dipikul oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
TLDM yang kini berusia 88 tahun penubuhannya telah mengalami pelbagai transformasi dari segi aspek keupayaan yang dipacu dengan perancangan pembangunannya. Pada ketika ini, rancangan Transformasi 15-to-5 merupakan perancangan yang mutakhir bagi membentuk satu angkatan armada yang ampuh dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
Kekuatan, keupayaan dan komposisi armada TLDM sudah tentu perlu sejajar dengan arus pemodenan semasa dan juga perkembangan geopolitik serantau yang tidak menentu. Bersesuaian dengan fungsi sebagai angkatan bersenjata, TLDM menggalas tanggungjawab meronda dan memperagakan kehadiran aset di kawasan perairan negara pada sepanjang masa.
Kehadiran TLDM ini merupakan cegah rintang (deterrent) kepada negara-negara luar mahupun unsur-unsur subversif yang berhasrat untuk mencabar hak kedaulatan Malaysia di perairan berkepentinganya. Bagi mencapai maksud ini, armada TLDM perlu diperlengkapkan dengan keupayaan tempur yang boleh menimbulkan perasaan gerun kepada pencabarnya.
Akan tetapi, realiti status aset semasa TLDM adalah tidak sejajar dengan keadaan serta situasi genting yang sedang berlaku di rantau sekitar Malaysia. Pada penghujung April lalu, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menyatakan sebanyak 61 peratus aset TLDM melebihi had umur asal reka bentuknya dan berada dalam keusangan.
Dalam pengamatan Air Times dengan melihat kepada peruntukan belanjawan, kekerapan operasi, dan penggiliran senggaraan, TLDM kini hanya mempunyai 3 buah kapal kombatan pada sebilangan masa. Keupayaan kombatan adalah merujuk kepada kemampuan aset untuk melaksanakan operasi tempur sekurang-kurangnya untuk 2 domain iaitu pertempuran paras permukaan (surface warfare) dan udara (air warfare). Perkara ini juga dapat dilihat melalui dapatan maklumat secara terbuka.
Situasi ini bukanlah satu perkembangan yang amat baik buat TLDM lebih-lebih lagi dengan kawasan perairan negara yang luas.
Kelewatan perolehan 6 buah Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) merupakan satu lagi igauan ngeri buat TLDM kerana ianya memberikan impak yang negatif kepada kekuatan angkatan pertahanan laut negara. Tambahan pula, senario yang sama pernah dihadapi semasa kelewatan perolehan Kapal Peronda Generasi Baharu (New Generation Patrol Vessel, NGPV) yang dilakukan pada lewat 1990-an. Impak kelewatan perolehan aset baharu buat TLDM (LCS) akan dikupas oleh penulis dalam siri ke-2 artikel.
Selain daripada itu, konsep perolehan secara (Fitted For But Not With) seperti yang dilaksanakan semasa perolehan kapal NGPV dan LMS kelas Keris (modularised container) adalah tidak sesuai dengan iklim keselamatan maritim semasa serta keupayaan TLDM sekarang. TLDM amat memerlukan kelengkapan kombatan dengan cepat. Persiapan untuk memperlengkapkan keupayaan kombatan kepada kapal-kapal ini (NGPV dan LMS) bakal memakan masa, sedangkan keupayaan kombatan tersebut adalah sesuatu yang amat diperlukan sekarang.
Malah, keupayaan persenjataan (misil anti permukaan) kapal NGPV dan Littoral Mission Ship (LMS) masih jadi persoalan yang mungkin tidak dapat dijawab sehingga ke hari ini. Melihat ketirisan dan kelewatan perolehan yang berlaku pada NGPV, tidak mustahil isu yang sama akan timbul pada LCS.
Dalam persidangan terakhir Dewan Negara pada 16 Ogos lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kekurangan keupayaan 4 buah LMS mungkin akan ditampung dengan perolehan baharu yang lebih ampuh pada masa hadapan. Justeru perolehan LMS Batch Kedua berkeupayaan kombatan seperti yang diperlukan TLDM perlu turut diberi perhatian serius. Walaupun begitu, garis masa untuk merealisasikan perolehan baharu LMS ini masih lagi menjadi tanda tanya dan mungkin memerlukan sedikit masa lagi.
Oleh itu, keadaan semasa aset TLDM wajar diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan. Ini kerana, kemampuan dan keupayaan aset TLDM untuk melakukan operasi tempur merupakan salah satu faktor kritikal dalam aspek cegah rintang yang amat diperlukan oleh negara. Keupayaan cegah rintang adalah satu perkara yang memberikan kesan langsung kepada kuasa diplomasi.
Keagungan Kesultanan Melayu Melaka pada satu ketika dahulu tidak hanya bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin dan kemampuan untuk berbicara di meja rundingan. Kekuatan empayar tersebut turut dipacu dengan kemampuan dan keupayaan armadanya yang disegani oleh kawan serta lawannya.
Menyentuh belanjawan pertahanan pula, sudah tiba masanya ia dilihat sebagai satu pelaburan. Memetik kata-kata pujangga, Si vis pacem para bellum (if you want peace prepare for war), yang bermaksud, “jika mahukan keamanan, bersiap sedialah untuk menghadapi peperangan”. Dalam ajaran Islam pula, mempersiapkan kekuatan pertahanan adalah satu perkara yang telah jelas dinyatakan dalam kitab suci Al-Qur’an.
Dalam melihat keadaan politik hubungan antarabangsa menjurus kepada ideologi neo-realism pada masa kini, negara perlu melihat keupayaan ketenteraan sebagai alat pengukuh hubungan diplomasi. Seperti yang sering dilaungkan, kekuatan dan keupayaan pasukan tentera merupakan satu insurans kepada kedaulatan negara. Justeru, Kita perlu beringat bahawa Malaysia sememangnya sebuah negara bebas dan merdeka, tetapi ia tidak bermakna kita imun dari sebarang ancaman mahupun perkara yang tidak diingini pada masa hadapan
Janganlah kita sudah terhantuk, baru nak tengadah. – airtimes.my
Nantikan Siri ke-2 Hikayat Armada yang akan disiarkan pada 5 September ini.