Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Operasi PATKOR perkukuh hubungan bilateral Malaysia-Indonesia

Operasi PATKOR perkukuh hubungan bilateral Malaysia-Indonesia

by Air Times News Network

KUCHING, 31 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) terus memperkukuhkan hubungan bilateral dengan mengadakan operasi Patroli Terkoordinasi (PATKOR) siri 1/2022 pada 21 hingga 30 Ogos lalu.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, PATKOR ini merupakan aktiviti bilateral di antara Formasi 3 Briged bersama dengan KOREM 121/ABW.

“Pada PATKOR kali ini, TDM telah diwakili Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD), manakala TNI-AD pula diwakili Kesatuan Penugasan Batalion Ifantri 645/Ghardatama Yudha,

“Sepanjang tempoh 10 hari penugasan ini, 2 kumpulan telah dibentuk dan diaturgerakkan secara serentak berkekuatan 30 pegawai serta anggota terdiri daripada seorang pegawai dan 14 anggota dari TDM dan TNI-AD,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff bersama Komandan KOREM 121/ALAMBHANA WANAWWAL, Brigadir Jenderal, Pribadi Jatmiko telah menyempurnakan penutupan operasi PATKOR ini.

Katanya, PATKOR ini melibatkan penugasan seperti rondaan kawasan sempadan sepanjang 30 kilometer (km) mulai batu sempadan D 346 hingga ET 91 pada 21 hingga 27 Ogos lalu.

“Selesai penugasan rondaan batu sempadan, aktiviti PATKOR diisi dengan perlaksanaan Projek Jiwa Murni/Karya Bakti yang telah diadakan di Desa Santaban Sajingan Besar pada 28 Ogos 2022 bagi membantu membaik pulih jalan bersama dengan masyarakat kampung,

“Seterusnya aktiviti ini diakhiri dengan riadah sukan bola tampar bersama masyarakat Kampung Sajingan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pelaksanaan PATKOR ini telah memberikan satu pengalaman yang baru di antara kedua-dua tentera dari peringkat staf formasi hinggalah ke tahap anggota di pasukan yang terlibat.

“Aktiviti seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan akan dapat menambahbaik pengoperasian sempadan di samping mengukuhkan jalinan kerjasama yang erat antara TDM dan TNI-AD yang telah sedia wujud,” jelasnya.  – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply