KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pelacuran menerusi Operasi Gegar (Op Gegar) di 2 buah premis di Puchong pada Jumaat lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi pada jam 5 petang.
Katanya, bertindak atas maklumat awam, pihaknya telah mengaturgerakkan sepasukan 21 orang terdiri pegawai JIM bagi melaksanakan serbuan di hotel dan sebuah unit kondominium di kawasan terbabit yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran wanita warga asing.
“Dalam operasi itu, seramai 27 orang telah ditahan, 25 daripadanya adalah wanita warga asing berumur antara 18 hingga 47 tahun,
“Mereka terdiri daripada 20 wanita Indonesia, 3 wanita Thailand dan 2 wanita Vietnam. Turut ditahan ialah 2 lelaki tempatan yang disyaki penjaga premis hotel tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan wanita warganegara Indonesia yang berpenampilan seolah wanita tempatan sebagai daya penarik utama untuk memancing pelanggan.
Tambahnya, dalam serbuan ke atas unit kondominium, pasukan serbuan telah menahan seorang wanita warga asing yang disyaki sebagai ketua atau ‘Mummy’ berumur 28 tahun yang menguruskan dan menjaga wanita warga asing di kondominium tersebut.
“Sindiket ini menggunakan wanita warganegara Indonesia yang berpenampilan seolah wanita tempatan sebagai daya penarik utama untuk memancing pelanggan,
“Dalam operasi ini sejumlah RM9,325 wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan pelacuran dirampas. Selain itu, beberapa kondom, pelincir dan buku rekod kehadiran bekerja serta senarai pelanggan turut dirampas,” katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, modus operandi sindiket adalah pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi Whatsapp dan pelanggan tersebut akan diberikan kata laluan untuk masuk ke hotel, tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis.
“Pelacur yang tidak sihat akan ditempatkan di kondominium dan dijaga oleh Mummy manakala pelacur yang sihat dan boleh bekerja akan ditempatkan di hotel dan akan bekerja bermula jam 11.00 pagi hingga jam 04.00 pagi keesokan harinya,
“Sindiket tersebut telah beroperasi selama 2 tahun dan kondominium juga dijadikan tempat transit wanita yang baru tiba dari Indonesia atau Thailand sebelum dihantar ke hotel untuk bekerja sebagai pelacur,” ujarnya.
Tambahnya lagi, hasil semakan mendapati wanita – wanita asing ini masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah dan menepati syarat-syarat sebagai pelancong. Walau bagaimanapun mereka telah menyalahgunakan kemudahan PLS ini untuk melakukan kerja-kerja pelacuran dan tidak bermoral.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelas kenyataan itu. – airtimes.my