LUMUT, 29 Ogos – Seramai 137 perenang mengambil bahagian dalam program Lumut Merdeka Swim 2022 anjuran Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena Hari Kebangsaan ke-65.
Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Pendidikan dan Latihan TLDM berkata, penganjuran program yang bermula pada 27 hingga 28 Ogos ini adalah kolaborasi diantara TLDM bersama Majlis Pembandaran Manjung (MPM).
“Program ini bertujuan bagi mempromosikan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut dan Malaysia sebagai Negara Maritim kepada masyarakat serta orang awam,
“Seramai 137 perenang yang terdiri daripada anggota TLDM, orang awam termasuk remaja dan kanak-kanak mengambil bahagian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, acara bermula pada 27 Ogos dimulakan dengan pelepasan para peserta renang daripada Teluk Batik ke Pasir Bogak dengan jarak renangan sejauh 8 kilometer (km).
“Setiba di Pasir Bogak aktiviti pembersihan pantai dilaksanakan dan diteruskan dengan malam patriotisme,
“Sementara itu, aktiviti di Lumut Bandar Tentera Laut turut dilaksanakan aktiviti colors guard ceremony, penceriaan Lumut Bandar Tentera Laut, gerai makanan, promosi kerjaya dan diakhiri persembahan simfoni deru laut biru oleh gelombang biru,” katanya.
Manakala pada 28 Ogos pula, diteruskan dengan aktiviti renangan yang bermula dari Pulau Mentagor dan berakhir di Jeti Marina Lumut sejauh 15km.
Selain itu, terdapat beberapa pameran, jualan cendera kenangan dan persembahan dilakukan oleh warga The Navy People seperti pertunjukan brassband, tarian tempur, tempur tanpa senjata, muzika gelombang biru, persembahan seni budaya oleh BAKES TLDM dan Navy Chef’s Cuisines. – airtimes.my