Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat mohon maaf kereta kebal rosak di atas jalan raya

Tentera Darat mohon maaf kereta kebal rosak di atas jalan raya

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) memohon maaf susulan insiden 2 kenderaan pasukan itu rosak semasa menyertai raptai sambutan Hari Kebangsaan 2022 sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya pada Jumaat dan Sabtu.

Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam kenyataan berkata, kerosakan itu melibatkan 2 jenis kenderaan iaitu kereta kebal PT-91M Pendekar dan Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (Prime Mover).

“Kejadian pertama pada 26 Ogos jam 10.30 pagi, sebuah kenderaan PT-91M Pendekar mengalami kerosakan di Jalan Damansara, iaitu di susur keluar Carcosa ke KL Sentral,

“Kenderaan tersebut baru selesai menjalani raptai perbarisan dan dalam perjalanan ke tempat parkir Kenderaan Jenis A (KJA) sebelum berhenti secara tiba-tiba akibat masalah enjin,

“Armoured Recovery Vehicle (ARV) kemudian diatur gerak bagi memberi bantuan menarik kenderaan itu dan berjaya dialihkan ke tempat parkir KJA di Muzium Negara pada jam 11 pagi untuk kerja pembaikan,” kata kenyataan pada Sabtu.

Manakala, kejadian kedua pula berlaku pada 27 Ogos jam 11.26 pagi berdekatan Muzium Negara melibatkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (Prime Mover) yang dalam perjalanan balik ke Kem Perdana Sungai Besi telah mengalami masalah enjin serta tidak dapat dihidupkan.

“Sejurus kejadian, anggota mekanik diatur gerak ke lokasi dan membuat kerja pembaikan serta kenderaan tersebut siap dibaiki pada pukul 12.30 tengah hari, seterusnya kembali perjalanan,” jelasnya.

Menurut TDM, sebanyak 129 aset TDM terlibat dalam perarakan sempena Hari Kebangsaan kali ini dan TDM memohon maaf susulan dua insiden yang berlaku.

“TDM juga akan memastikan kejadian sebegini sebolehnya tidak berulang dan sekiranya berlaku, Recovey Team bersama Kembalik yang telah berada di lokasi berhampiran akan bertindak pantas menunda kenderaan tersebut bagi mengelak kesesakan lalu lintas,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply