Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut SEAEX THAMAL perkasa keselamatan maritim di Laut China Selatan

SEAEX THAMAL perkasa keselamatan maritim di Laut China Selatan

by Air Times News Network

KUANTAN, 28 Ogos – Sea Exercise Thailand-Malaysia (SEAEX THAMAL) siri 66/22 bagi memperkasakan keselamatan maritim di Laut China Selatan telah dilaksanakan mulai 22 hingga 26 Ogos lalu.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, eksesais ini telah bermula di 2nd Naval Area Command (2nd NAC) Songkhla, Thailand dan berakhir di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Kuantan.

“Eksesais bilateral ini melibatkan komponen keselamatan maritim Malaysia iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin Malaysia (PPM) bersama Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) serta agensi keselamatan maritimnya,” katanya pada Sabtu.

Menurutnya, upacara penutup eksesais ini telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain dan disaksikan oleh Chief of Staff 2nd Naval Area Command TLDT, Rear Admiral Thawatchai Pimmuang di Auditorium Al-Haimi, Markas Wilayah Laut 1.

“Eksesais ini bertujuan untuk memupuk persefahaman dan kebolehoperasian bersama di antara Angkatan Maritim kedua-dua negara,

“Selain itu, ianya juga membuktikan keupayaan dan kesiagaan angkatan serta keberkesanan perhubungan strategik disamping memperkuatkan lagi keselamatan serta keupayaan melalui perkongsian berwibawa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, SEAEX THAMAL dilaksanakan secara Field Training Exercise (FTX) di perairan Laut China Selatan.

“Eksesais ini dibahagikan kepada fasa pelabuhan yang berlangsung di Songkhla Naval Base mulai 22 Ogos 2022 diikuti oleh fasa laut di perairan Laut China Selatan pada 24 Ogos 2022 sebelum diakhiri dengan fasa penutup di Pangkalan TLDM Kuantan pada 26 Ogos 2022,

“Antara aset-aset pertahanan maritim negara yang terlibat adalah KD HANDALAN, KD GEMPITA dari TLDM, KM BAGAHAK dari APMM dan PA 6 dari PPM,

“Manakala aset aset Thailand yang terlibat adalah HTMS KLONG-YAI, PGM 991 dan PGM 114,” jelasnya.

Tambahnya, kejayaan pelaksanaan eksesais ini membuktikan komitmen yang jitu dan ketersediaan dalam kebolehoperasian aset dari kedua-dua negara bagi memelihara kepentingan serta khazanah maritim di perairan wilayah tersebut. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply