KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan latihan dan persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan bermula hari ini (Jumaat) hingga 31 Ogos 2022.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan itu akan melakukan koordinasi Terbang Lintas Hormat dan Segmen Udara melibatkan pesawat udara milik ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia iaitu pesawat milik TUDM, Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sempena sambutan Hari Kebangsaan Rabu ini.
“Latihan terbabit turut melibatkan pesawat udara milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM),
“Pesawat-pesawat udara tersebut akan melaksanakan latihan dan persiapan bagi Sambutan Hari Kebangsaan bermula pada 26 Ogos 22 sehingga hari sebenar sambutan pada 31 Ogos 22,
“Sepanjang tempoh latihan persiapan sehingga hari sebenar, pesawat terlibat akan melaksanakan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal,” menurut kenyataan itu.
Justeru, TUDM menasihatkan orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat terbang rendah sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan, yang dapat disaksikan di beberapa kawasan latihan iaitu sekitar Kuantan dan Lembah Klang.
Sambutan Hari Kebangsaan 2022 akan dilaksanakan di Dataran Merdeka selepas 2 tahun negara tidak mengadakan perarakan disebabkan pandemik COVID-19. -airtimes.my