Home Semasa Najib besar kemungkinan akan diampun setelah dipenjara – Tun M

Najib besar kemungkinan akan diampun setelah dipenjara – Tun M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, besar kemungkinan Datuk Seri Mohd Najib Razak akan diampun setelah dipenjara.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, kelewatan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib menyebabkan banyak kes lain tertangguh.

“Ada pepatah Inggeris yang berkata ‘justice delayed is justice denied’ yang boleh kita terjemah sebagai ‘keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai’,

“Kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang (4 tahun) banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan ramai tokoh-tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah,

“Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu menambah, kini perbicaraan ke atas Najib melibatkan kes lain juga akan mengambil masa yang panjang.

“Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh,

“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan,” ujarnya.

Katanya, sekarang banyak laporan dibuat berkenaan kes-kes rasuah yang serius yang belum dibicara.

“Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka,

“Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai,

“Bagi Najib besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!