KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International bukan pengakhiran bagi sebuah perjuangan.
Ini kerana, pendakwaan dalam kes 1MDB yang melibatkan penyelewangan dana berjumlah RM2.6 billion masih belum selesai.
Tambahnya, begitu juga kes rasuah yang melibatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, selain kes-kes berprofail tinggi yang lain.
“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika menjadi Perdana Menteri. Walaupun ada desakan politik supaya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini,
“Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik dari mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak,
“Kebebasan dan integriti badan kehakiman sepertimana yang terbukti pada hari ini (23 Ogos) adalah paksi sebuah negara demokrasi,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi.
Tegasnya, tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah serta bankrap moral.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib bagi pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Panel 5 hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan penghakiman sebulat suara menolak permohonan pihak pembelaan yang cuba menggugurkan beliau daripada pendengaran rayuan tersebut.
Dalam hantaran yang sama, Muhyiddin turut mengimbau kelantangan beliau sewaktu menjadi Timbalan perdana Menteri terhadap isu IMDB dan SRC International membabitkan bekas Najib Razak, sejak 2015.
“Saya telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah pada skala yang besar menerusi penyelewengan dana 1MDB dan SRC International membabitkan bekas perdana menteri, Najib sejak tahun 2015,
“Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak,
“Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib,” ujarnya. -airtimes.my