Home Pertahanan dan Keselamatan Kereta bawa 10 PATI Myanmar kemalangan, pemandu ditahan

Kereta bawa 10 PATI Myanmar kemalangan, pemandu ditahan

by Nurulhuda

BESUT, 24 Ogos – Tindakan seorang lelaki menyeludup 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dengan menaiki kereta Produa Alza gagal, apabila kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Tok Dor, Jertih semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek yang ‘menyumbat’ 10 penumpang dalam kereta tersebut, dikatakan ditawarkan upah RM1,200 bagi membawa pendatang asing itu dari Chiku di Gua Musang, Kelantan ke Gambang, Pahang.

“Suspek dikatakan terlelap semasa memandu menyebabkan keretanya melanggar belakang sebuah kereta Proton Persona di hadapannya,

“Kereta yang dilanggar tersebut kemudian hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan,

“3 PATI yang cuba melarikan diri dari tempat kemalangan berjaya diberkas oleh orang awam, manakala pemandu dan seorang lagi pendatang asing yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Besut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak memaklumkan, 4 PATI (termasuk seorang yang cedera) yang gagal melarikan diri berusia 19 hingga 47 tahun ditahan bersama pemandu berusia 34 tahun dan pihaknya masih mengesan 6 lagi yang masih lolos.

Menurutnya, siasatan awal ke atas pemandu kereta itu mendapati pada Isnin lepas dia dihubungi seorang lelaki warganegara Thailand dikenali sebagai ‘Pak Do’ yang menawarkan upah untuk memandu dan membawa PATI berkenaan menggunakan kereta Perodua Alza yang disediakan Pak Do.

“Hasil semakan kesalahan lampau pemandu itu mempunyai 2 rekod kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing pula didapati positif dadah jenis methamphetamine,

“Polis turut merampas 4 biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dan 6 unit telefon bimbit,” ujarnya.

Tambahnya, pemandu kenderaan tersebut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala PATI ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!