KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan mahkamah yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas rayuan akhirnya ditolak semalam, merupakan detik duka buat parti itu.
Menurutnya, kedukaan itu diluahkan sendiri oleh Najib yang merasakan kekuasaan kehakiman ditekan ke atas dirinya dengan cara yang sangat tidak adil.
“Kami berada di luar dan dalam mahkamah tadi turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun ini tidak bermakna kami berputus asa,
“Semoga Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalaman dalam menghadapi dugaan ini. Sebagai pejuang tulen tidak mudah beliau patah semangat dan berjuang terus berjuang,
“Kami percaya ada malam yang gelap pasti akan ada siang yang cerah. Masa akan menentukan segalanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya malam tadi.
Beliau turut berharap agar Najib dan ahli UMNO agar tidak bersedih serta bersama-sama bersolidariti.
Tambahnya, susah senang Najib sebagai Ahli UMNO mereka sebagai ahli akan tetap bersama.
“Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti. Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat,
“Tiada pengkhianatan sesama kita! Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar! Bak kata ungkapan Usman Awang, di belakang duri di depan api. Kita tak bisa undur lagi. Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi. Kebulatan ikrar tak akan berubah,
“Maka ayuh kita bangkit mengharungi onak dan duri, api perjuangan kita terus semarakkan. Marilah kita bangkit bersatu hati dan tenaga agar perjuangan Datuk Seri Najib terus menyala-nyala,
“Inilah peledak semangat dan kita terus bangkit serta terus mara ke hadapan. Walaupun di belakang duri di hadapan api! Kita tempuh bersama-sama!,” tegasnya. -airtimes.my