Home Politik PKR anjur Konvensyen PRU-15 Sabtu ini

PKR anjur Konvensyen PRU-15 Sabtu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menganjurkan Konvensyen Pilihan Raya Keadilan 2022 pada Sabtu ini sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, G. Manivanan berkata, matlamat utama konvensyen ini adalah bagi menetapkan hala tuju strategi parti dalam memasuki PRU-15.

Selain itu, beliau berkata, konvensyen ini bagi mengemaskini arahan persediaan kempen kepada seluruh lapisan jentera parti dan menyuntik semangat serta membentuk jati diri anggota sebagai persiapan memasuki PRU-15.

G. Manivanan berkata, penyertaan ini terbuka kepada semua lapisan pimpinan termasuk pimpinan pusat, negeri, cabang, Angkatan Muda Keadilan, Wanita, Srikandi, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, aktivis parti, akar umbi termasuk sukarelawan parti.

“Semua peserta digalakkan mendaftarkan diri lebih awal melalui ‘Google Form’ yang disediakan manakala pendaftaran pada hari konvensyen akan bermula pada 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Manivanan konvensyen terbahagi kepada 2 segmen iaitu segmen pertama suara akar umbi dan segmen kedua iaitu suara pimpinan.

“Segmen kedua terdiri daripada ucapan serta amanat khas Pilihan Raya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan amanat strategi pilihan raya oleh Pengarah Pilihan Raya PKR Rafizi Ramli,” ujarnya.

Tambahnya, setiap anggota keadilan yang dahagakan kejayaan dalam PRU-15 yang akan datang, wajar bersama-sama untuk mencipta sejarah, menyuntik semangat dan bersama-sama bersedia sebagai keluarga keadilan menghadapi PRU yang akan datang.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!