KUALA LUMPUR, 23 Ogos – “Maafkan saya, daddy,” luahan Nooryana Najwa anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Luahan itu dimuat naik menerusi hantaran Instagram miliknya selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bapanya.
Anak keempat Ahli Parlimen Pekan itu menyifatkan sistem undang-undang hari ini tidak menyebelahi nasib bapanya setelah berjuang selama 4 tahun bagi menafikan pertuduhan terhadapanya.
“Mungkin kita tidak cukup berjuang. Mungkin kita meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem keadilan kita,
“Mungkin kita percayakan matlamat dan tujuan dengan sepenuh hati, jadi kita bertahan sepanjang 4 tahun ini.
“Namun kamu (daddy) tidak mendapat keadilan hari ini (Selasa), malah kita juga tidak berpeluang bertempur,” katanya pada Selasa.
Nooryana bagaimanapun menegaskan, perjuangan untuk bapanya itu tidak akan berakhir hari ini.
Beliau turut berjanji mereka sekeluarga akan terus berusaha menegakkan kebenaran agar Najib dapat kembali ke pangkuan keluarga.
“Saya berjanji bahawa Mummy, Ashman, Abang Jaja, saya, keluarga dan orang-orang kamu tidak akan berehat sehingga kamu kembali bersama kami dan keadilan ditegakkan,
“Kami sangat berbangga dengan kekuatan kamu,
“Saya akan berpegang pada kata-kata perpisahan kamu dengan saya setiap hari iaitu mereka boleh mengawal segala-galanya tetapi mereka tidak dapat mengawal emosi dan kekuatan fikiran kita,
“Tetap kuat, ALLAH SWT bersamamu daddyku. Saya sentiasa bersama kamu, untuk sekarang dan selamanya,” luah Nooryana.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan 5 panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Panel 5 hakim yang diketuai oleh Tengku Maimun dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Dengan itu, beliau berkata, permohonan perayu ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman disahkan.
Najib dibawa ke Penjara Kajang dari Istana Kehakiman Putrajaya selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd pada jam 5.44 petang.
Turut dilihat mengiringi kenderaan Najib ialah beberapa kenderaan polis di mana mereka menggunakan laluan lain dan bukannya laluan keluar utama Mahkamah Persekutuan.-airtimes.my