Home Pertahanan dan Keselamatan Lakukan pelbagai kesalahan, 2 vesel ditahan di perairan Johor

Lakukan pelbagai kesalahan, 2 vesel ditahan di perairan Johor

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 23 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan sebuah kapal tangki dan sebuah bot tunda di perairan Johor Timur, semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki itu ditahan kapal ronda APMM pada jam 12.30 tengah hari di kedudukan 16.6 batu nautika (bn) timur laut Tanjung Penawar.

Beliau berkata, kapal tersebut ditahan setelah pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh ketika diperiksa.

“Kapal tangki berdaftar dari Panama yang dikendalikan 26 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine dan Georgia berusia 21 hingga 67 tahun itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran atau kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia,

“Manakala bot tunda pula ditahan kapal ronda APMM di kedudukan 17.7 bn timur laut Tanjung Penawar pada jam 2.00 petang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 72(1) OPS 1952 kerana bilangan kru kapal tidak mencukupi seperti di dalam Safe Manning Certificate dan Seksyen 477(2) OPS 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan,” jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebuah bot tunda juga ditahan APMM di kedudukan 17.7 bn timur laut Tanjung Penawar pada jam 2.00 petang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 72(1) OPS 1952 .

Mohd Najib memaklumkan, bot tunda yang berdaftar dari Singapura itu dikendalikan 6 lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 29 hingga 51 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952,

“Bagi Seksyen 72(1) OPS 1952 boleh didenda sehingga RM100 ribu. Manakala bagi Seksyen 477(2) OPS 1952 boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih 10 hari atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau mengingatkan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal atau bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!