Home Pertahanan dan Keselamatan Rafizi dedah isteri bekas Timbalan Menteri Pertahanan ‘jerung besar’ skandal LCS

Rafizi dedah isteri bekas Timbalan Menteri Pertahanan ‘jerung besar’ skandal LCS

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa seorang isteri kepada Menteri merupakan ‘jerung besar’ dalam kes Kapal Tempur Persisir (Littoral Combat Ship, LCS).

Beliau menamakan seorang isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad terlibat dalam kes tersebut.

“Siapa Zainab Mohd Salleh ini yang begitu berpengaruh dalam projek LCS?

“Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Latiff ialah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Namun, beliau meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Beliau adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika ini ialah Datuk Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang,” ujar Rafizi.

Rafizi mendakwa, ‘syarikat palsu’ yang menerima bayaran daripada projek LCS dimiliki oleh salah seorang isteri Latiff.

Katanya, perkara itu didedahkan dalam pangkalan data dokumen bocor Paradise Papers dan dalam laporan siasatan dalaman projek LCS.

Jelasnya, laporan keseluruhan siasatan dalaman itu tidak dikongsi dengan pihak media buat masa ini.

Sementara itu, Rafizi berkata, beliau berharap pendedahannya ini dapat menutup mulut UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada cuba menyalahkan pesara-pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila skandal ini meletup.

“Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan Umno yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan,

“Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari BERSATU dan PAS mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka, Latiff Ahmad dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS,” tegasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!