Home Semasa PATKOR perkukuh kawalan sempadan Malaysia-Indonesia

PATKOR perkukuh kawalan sempadan Malaysia-Indonesia

by Air Times News Network

KUCHING, 22 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) terus memperkukuhkan kawalan sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat (KALBAR) dengan mengadakan operasi Patroli Terkoordinasi (PATKOR) mulai 21 hingga 30 Ogos ini.

Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia (Mk 3 Bgd) berkata, operasi rondaan ini melibatkan Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD) dan Batalyon Infantri 645/Ghardatama Yudha (645/GTY) wakil TNI-AD.

Ketua Staf Mk 3 Bgd, Leftenan Kolonel Ameruddin Razali dan Kepala Staf Resor Militer (Kasrem) 121/ABW, Kolonel Czi Rudy Wahjudiono S.E. M.M. telah menyempurnakan Perasmian Pembukaan PATKOR siri 1/2022 bertempat di Pos Gabungan Bersama (GABMA) Sajingan/Aruk pada Ahad.

“Objektif PATKOR ini adalah bagi meningkatkan komunikasi dan koordinasi untuk mengelak salah faham di antara kedua-dua buah negara yang sedang melaksanakan tugas di perbatasan Sarawak dan KALBAR,

“Antara permasalahan yang wujud adalah seperti penyeludupan barang terkawal, pembalakan haram, kemasukan tanpa izin dan lain-lain aktiviti di sempadan Sarawak atau KALBAR yang boleh mencemarkan keamanan,” katanya.

Selain itu, turut diadakan aktiviti sukan dan Program Jiwa Murni atau Karya Bakti di antara kedua belah pihak melibatkan penduduk kampung di perbatasan sempadan negara.

“Pelaksanaan aktiviti bilateral ini merupakan kesinambungan daripada Unit Commanders Meeting (UCM) Siri 1/2022 pada 2 Ogos 2022 dan pengaktifan Pos GABMA yang melibatkan 3 sektor iaitu Biawak, Tebedu dan Lubok Antu,

“PATKOR yang dilaksanakan pada setiap tahun telah tertunda sejak tahun 2020 akibat pandemik COVID-19,” ujarnya.

Turut hadir, Panglima 3 Bgd, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff, Pegawai Memerintah 4 KAD, Leftenan Kolonel Mohamad Sazili Hussain dan Dansatgas Yonif 645/GTY, Letkol Inf Hudallah S.H. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!