KUALA LUMPUR, 19 Ogos – PAS akan terus berusaha menjayakan Penyatuan Ummah dan memberi fokus bagi memastikan agenda satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dapat dicapai.
Ketua Penerangan PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, agenda tersebut memerlukan penyatuan parti-parti politik Melayu-Islam bagi mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam PRU14 yang lalu.
“Kemenangan Pakatan Harapan (PH) jelas menjadi mimpi ngeri buat rakyat dan negara,
“Pemerintahan PH selama 22 bulan telah membawa banyak masalah bukan sahaja kepada kepentingan rakyat bahkan juga kepada kedaulatan negara dan kepentinga umat Islam serta bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, prinsip PAS dalam politik adalah jelas dan akan berusaha menyatukan parti-parti politik Melayu sebelum PRU15.
“PAS akan menyatukan semua parti melalui apa jua kaedah serta cara selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti,
“Penyatuan ummah ini merangkumi prinsip utama iaitu adil kepada semua, satu keluarga Malaysia dan Islam memimpin seperti digariskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” ujarnya.
Tambahnya, penyatuan ini seiring dengan slogan ‘Islam Menyatukan Ummah’, PAS menyeru kepada semua pihak untuk mendukung agenda penyatuan ummah dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera. – airtimes.my