Home Semasa Hentikan pendakwaan, jangan kembali ke era 2 darjat

Hentikan pendakwaan, jangan kembali ke era 2 darjat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Jawatankuasa TURUN mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara yang mendakwa 3 orang aktivis hanya kerana terlibat dalam Himpunan TURUN berkenaan kenaikan harga barang baru-baru ini.

Jawatankuasa Turun dalam kenyataan berkata, pendakwaan ini dilihat cuba untuk mempermainkan undang-undang negara yang memberi ruang kepada seluruh rakyat untuk bersuara.

Jelasnya, belum ada sesiapa yang dilaporkan didakwa kerana berhimpun untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini bergelar banduan negara dan disahkan ‘national embarrassment’ oleh mahkamah negara.

“Pendakwaan ini membakulsampahkan undang-undang negara yang memberi ruang bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia,

“Tindakan 2 darjat yang memberi keistimewaan kepada banduan tetapi pengisytiharkan perang terhadap mahasiswa dan rakyat melanggar prinsip Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan seolah-olah mengangkat prinsip Keluarga Banduan,

“Kita harus menyoalkan sama ada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dikawal Najib Razak dan menari mengikut rentak dan irama banduan itu?” jelas kenyataan itu.

Tegas jawatankuasa itu, pemimpin negara dan agensi penguatkuasa harus bertindak berlandaskan undang-undang negara serta berteraskan kepentingan rakyat, bukan kepentingan Najib Razak.

“Apabila anak muda ditekan dan didakwa, akan muncul lebih ramai mahasiswa, anak muda, dan rakyat Malaysia yang disuntik keberanian agar terus bersuara dengan turun ke jalan raya agar kerajaan bertindak dengan adil serta saksama,” ujar mereka.

Sehubungan itu, jawatankuasa itu menyeru agar Perdana Menteri dan Peguam Negara menarik tindakan berat sebelah ini dan memberi fokus kepada kerja yang lebih penting iaitu mengangkat sistem keadilan.

“Selain itu, kerajaan juga digesa mula bekerja untuk rakyat yang sedang mengikat perut disebabkan kos sara hidup yang sudah di luar kawalan,” tegasnya.

Semalam, 3 individu termasuk Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Hasbie Muda dihadapkan ke 3 Mahkamah Majistret berhubung perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara.

Selain Mohd. Hasbie, 35, Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Cabang Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, dan Presiden kesatuan pelajar sebuah universiti awam, Muhammad Aliff Naif Mohd. Fizam, 24 turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa selaku penganjur telah gagal memberitahu pegawai polis 5 hari sebelum mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Alang pada 1 Julai lalu dan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!