KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditunjangi 4 parti Melayu akan bergabung dengan menggunakan satu logo untuk bertanding di 120 kerusi Parlimen dan 280 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jumlah kerusi itu hanya di Semenanjung dan tidak termasuk Sabah yang didakwa mempunyai ahli Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) paling ramai setakat ini.
“Kita akan bertanding dalam 120 kerusi di Semenanjung dan 280 DUN. Ini tak termasuk (kerusi) di Sabah,
“Di Sabah pun kita dapati banyak sokongan kepada kita dan kita akan tentukan juga mereka akan sedar mengenai masalah yang menimpa orang Melayu. Mereka setakat ini amat berminat bekerjasama dengan kita,
“Bahkan, bagi parti PEJUANG yang bilangan ahli terbanyak sekali di Sabah. Kita tak boleh abaikan Sabah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya akan menghantar permohonan logo dan pendaftaran gabungan berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada minggu hadapan.
Sebelum ini GTA dilancarkan secara rasmi dengan disertai PEJUANG, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).
“Kita belum putuskan lagi (reka bentuk logo). Kita akan buat perancangan reka bentuk baharu dan saya ingat pada minggu depan akan putuskan,
“Apabila ia telah diputuskan, dan kita telah mengisi semua jawatan dalam GTA, kita cadang untuk minta pendaftaran,” katanya.
Pengerusi PEJUANG itu berkata, pihaknya yakin pendaftaran gabungan tersebut akan diluluskan sebelum PRU15.
Dalam sidang akhbar sama, Dr Mahathir turut mengumumkan 5 lagi nama pemimpin tertinggi gerakan itu iaitu Datuk Mohamed Ismail (Bendahari); Datuk Nizam Mahshar (Ketua Penerangan); Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Sayap Wanita) dan Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Sayap Pemuda) dan Azliza Rajain (Sayap Pemudi).
“Jelas di sini pengurusan gerakan ini terdiri daripada bukan saja parti politik tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan,
“Kita mewakili orang Melayu tetapi bukan semua orang Melayu. Kita tidak mewakili orang Melayu yang ada masalah di mahkamah atau yang dikenal pasti terlibat jenayah. Mereka itu tidak terlibat dengan kita,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, Tun Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri menafikan tuduhan bahawa kewujudan GTA ini memecahbelahkan orang Melayu, sebaliknya berjaya mencantumkan 4 buah parti Melayu demi mendirikan sebuah kerajaan yang bersih.
Tambahnya, 4 parti Melayu ini akan berada dalam gerakan tersebut dan bermakna mereka tidak berlawan sesama sendiri ketika PRU15 dan menyokong setiap calon GTA.
“Sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti politik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri, kali ini kita tak lawan sesama sendiri tetapi kita bersatu,
“Tuduhan pecah belah Melayu ini tidak benar. Kita akui tidak boleh nak satukan orang Melayu yang terlibat jenayah curi duit. (Mereka) itu tidak ada dalam gerakan ini. Kami berjuang untuk bangsa Melayu, negara kita dan agama Islam,” tegasnya. -airtimes.my