KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kerjasama agensi Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan (JIM); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah mengadakan Operasi (Ops) Bersepadu di sekitar pasar borong Kuala Lumpur, semalam.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias telah mengetuai operasi yang diadakan bersama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Yahaya Othman yang melibatkan seramai 391 orang warga kerja DBKL serta agensi sahabat.
DBKL dalam satu hantaran media sosialnya berkata, pemeriksaan di sekitar pasar borong KL tertumpu kepada premis perniagaan dan individu yang bekerja atau tinggal berdekatan melibatkan warga asing serta rakyat tempatan.
“Seramai 400 individu telah diperiksa melibatkan 147 orang warga tempatan dan 253 orang warga negara asing terdiri dari Myanmar; Bangladesh; Indonesia; Pakistan; Nepal serta India,
“Seramai 35 orang yang telah ditangkap akan dikenakan tindakan lanjut dimana 7 daripadanya disiasat dibawah kesalahan Akta Imigresen 1959/1963 serta 28 orang pembagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas hantaran itu.
Menurutnya, pihak DBKL membuat 6 penutupan serta merta premis perniagaan yang telah melanggar syarat lesen di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“3 tindakan sita juga dikenakan ke atas pelbagai barangan dan peralatan premis yang telah membuat halangan ditempat awam serta menjalankan aktiviti penjajaan tanpa lesen menerusi Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK 3(1); Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,
“3 notis kompaun turut dikeluarkan dibawah UUK 20(1)(b), Undang-Undang Kecik Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,
“Operasi bersepadu ini berjalan lancar dengan kerjasama erat semua agensi sahabat yang terlibat,” ujarnya. -airtimes.my