CYBERJAYA, 18 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar sindiket pelacuran benua Afrika di Cyberjaya, pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan yang dijalankan ke atas sebuah kondominum mewah tersebut telah menahan seramai 10 wanita warga asing berumur 23 tahun hingga 37 tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua wanita yang ditahan terdiri daripada 7 warganegara Tanzania dan 3 warga Uganda kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran dan kegiatan tidak bermoral.
“Pasukan operasi telah merampas sebanyak 9 naskah pasport, 13 buah telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, 4 set kondom dan 9 buah buku nota yang merekodkan bukti langganan seks,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, siasatan awal mendapati 9 daripada wanita terbabit memasuki Malaysia secara sah dengan menggunakan pas pelancong. Manakala seorang lagi adalah sebagai pelajar di sebuah Pusat Bahasa di ibu negara.
“2 daripada kesemua yang ditahan dikenalpasti merupakan ‘Mummy’ iaitu orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini,
“Sindiket ini menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki benua Afrika terutamanya dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500 sekali langganan,” ujarnya.
Tegasnya, kesemua tahanan disiasat di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – airtimes.my