KOTA BHARU, 17 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Tok Bali serta Pasir Putih berjaya merampas 2720 kilogram minyak masak paket menerusi Operasi (Op) Landai dan Op Kontraband yang diadakan semalam.
KPDNHEP dalam satu hantaran media sosialnya berkata, sebuah kenderaan jenis lori Isuzu dalam keadaan mencurigakan berjaya dikesan sekitar jam 3.00 petang sedang menuju ke Peringat disyaki membawa minyak masak bersubsidi.
“Pasukan operasi berjaya menahan lori berkenaan setelah mengekorinya pada jam 3.20 petang dan hasil pemeriksaan awal mendapati sejumlah besar minyak masak paket berada di belakang kenderaan tersebut,
“Pemandu terbabit dikehendaki bagi mengemukakan maklumat berkaitan pemilikan barang kawalan dan membuat pengisytiharan stok semasa, rekod belian serta maklumat mengenai harga dibawah Seksyen 8 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, pemandu berkenaan gagal untuk mengemukakan sebarang butiran catatan transaksi dan dokumen seperti lesen, maklumat, resit sebagai pemilikan barang kawalan tersebut sepertimana yang diarahkan oleh pasukan dibawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Anggaran sebanyak 2,720 kilogram minyak masak paket dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM6,800 dan kenderaan bernilai RM15,000,
“Turut ditahan 2 lelaki tempatan berusia 40 dan 50 tahun yang merupakan pemandu, kelindan lori bagi siasatan lanjut serta pasukan mensyaki minyak ini dibawa ke stor transit sementara di sempadan negara melalui pengkalan haram,” ujarnya.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.
Jelasnya lagi, siasatan lanjut dijalankan keatas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan yang diperolehi serta kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. -airtimes.my