Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Terengganu lupus 144 bot nelayan asing bernilai RM216 juta

APMM Terengganu lupus 144 bot nelayan asing bernilai RM216 juta

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu telah melupuskan sebanyak 144 buah bot nelayan ditenggelamkan sebagai tukun dengan anggaran bernilai RM216 juta.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan APMM mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

Beliau berkata, pihaknya turut melupuskan 2 bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Bidong, pada Selasa.

Jelasnya, pelupusan 2 bot ini merupakan sumbangan APMM Negeri Terengganu kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi akiviti penyelidikan kajian akademik di Stesen Penyelidikan Alam Marin UMT, Pulau Bidong.

“Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2021 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara,

“Kedua-dua bot ini ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh KM NUSA,

“Ini merupakan pelupusan ke-9 dalam tahun ini oleh APMM Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 40 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah tahun ini,” jelasnya.

Tambahnya, selain UMT, program seperti ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan, Jabatan Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan Terengganu.

“Kerjasama masyarakat terutamanya komuniti maritim sangat dialu-alukan untuk melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang dan kecemasan yang berlaku di laut ke talian MERS 999,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply