Home Pertahanan dan Keselamatan Najib, adakah projek LCS hanya untuk bayar hutang lapuk BNS?

Najib, adakah projek LCS hanya untuk bayar hutang lapuk BNS?

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong mempersoal adakah benar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merancang menjadikan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk membayar hutang lama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) daripada projek New Generation Patrol Vessel (NGPV).

Persoalan ini diajukan selepas Najib cuba mengaitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan BNS yang terpaksa menggunakan sebahagian daripada pembiayaan LCS untuk membayar hutang lapuk NGPV.

“Pada tahun 2011, Najib sebagai Perdana Menteri keenam meluluskan perolehan 6 LCS dan memberikan kontrak tersebut kepada BNS,

“Adakah PM6 memang memulakan projek LCS secara rundingan terus dengan tujuan untuk membayar hutang lapuk NGPV?

“Jawapan Najib kepada soalan ini akan bantu kita semua memahami masalah projek LCS,” kata Mohamad dan Liew dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut mereka, lebih RM6 bilion daripada siling RM9 bilion peruntukan projek LCS telah dibayar kepada BNS oleh kerajaan Malaysia. Daripada RM6 bilion itu, sejumlah RM745 juta digunakan untuk ‘bailout’ projek NGPV.

Tegasnya, penggunaan dana sebegini adalah salah satu jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“RM9.128 bilion ini adalah untuk menjayakan projek LCS, bukan untuk ‘bailout’ projek NGPV,

“Pada asasnya, apa yang dilakukan di sini ialah menutup kerugian perjanjian lama yang gagal dengan perjanjian baru. Apa yang dilakukan di sini adalah jenayah,

“Jika kita ikut logik Najib, hutang lapuk NGPV adalah tanggungjawab PM4, maka segala masalah LCS adalah tanggungjawab PM6 kerana segala keputusan berkenaan LCS berlaku semasa Najib menjadi PM6 dari 2009 ke 2018,” ujar mereka.

Meskipun Najib cuba menuding kegagalan projek NGPV kepada Mahathir, Mohamad dan Liew berkata Najib juga terlibat secara mendalam dalam projek berkenaan sebagai menteri pertahanan pada masa itu.

Mereka menegaskan projek kapal peronda generasi baru itu dibuat antara 1998 dan 2010 manakala Najib menjadi menteri pertahanan dari 1999 hingga 2008, serta dari 1990 hingga 1995.

“Pada tahun 1990, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk memperoleh 27 buah kapal peronda (patrol vessel/PV),

“Setelah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri pada tahun 1993, cadangan pembinaan dan perolehan PV dimasukkan di dalam Perjanjian Penswastaan Naval Dockyard Sdn Bhd di antara Kerajaan Malaysia dengan konsortium yang diketuai oleh Penang Shipbuilding dan Construction Sdn Bhd (PSC-NDSB) (milikan Tan Sri Amin Shah Omar) pada tahun 1995,

“Maksudnya, Najib selaku Menteri Pertahanan juga setuju untuk menswastakan limbungan ini,” tegas mereka.

Kontrak asal perolehan NGPV yang ditandatangani dengan PSC-NDSB pada tahun 5 September 1998 yang bernilai RM 5.35 bilion.

Selepas kegagalan projek NGPV, Boustead Holdings Berhad mengambil alih PSC-NDSB pada 2005 dan menamakan semula syarikat itu sebagai BNS pada tahun berikutnya.

“Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Parlimen dalam prosiding pada 15 Jun 2005 mendapati bahawa projek NGPV tidak diurus baik oleh pihak kontraktor dan pihak Kementerian Pertahanan,

“Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006 juga berpendapat bahawa pembinaan NGPV banyak kelemahan kerana kerajaan dan Kementerian Pertahanan terlalu memberi peluang kepada syarikat yang bermasalah dalam kewangan serta pengurusan sehingga menyebabkan kepentingan kerajaan tidak dipelihara,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!