KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempelawa rakyat Malaysia, lelaki dan wanita berusia 18 hingga 25 tahun untuk berkhidmat dalam perkhidmatan tersebut.
TLDM dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan, permohonan dibuka secara atas talian melalui imbas kod QR atau layari www.navy.mil.my dan masuk ke pautan perkhidmatan untuk mendaftar maklumat awal bagi Pengambilan Perajurit Muda (PtM) TLDM siri 225/23 bermula 15 Ogos hingga 26 September 2022.
“Syarat kelayakan adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM) terbuka kepada lelaki dan perempuan,
“Manakala lepasan Diploma Kejuruteraan hanya terbuka kepada lelaki sahaja, taraf perkahwinan adalah bujang (tidak pernah berkahwin) dan pemohon mestilah bebas dari sebarang kes jenayah, dadah atau juvana,” katanya.
Menurut TLDM, kelayakan akademik pemohon bagi lepasan SPM mestilah mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus dalam Sejarah.
“Keutamaan kepada pemohon yang memiliki kepujian dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” ujarnya.
Manakala bagi lepasan SVM mesti mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu dan Diploma Kejuruteraan pula harus mempunyai SPM setaraf dengan kepujian dalam Bahasa Melayu serta lulus dalam Sejarah.
“Pemohon perlu mengemukakan sijil diploma, transkrip dan sijil perakuan akreditasi serta mempunyai diploma yang diiktiraf oleh Malaysian Qualification Agency (MQA),” jelasnya.
Selain itu, calon yang ingin memohon perlu sihat tubuh badan, penglihatan yang baik tanpa kaca mata, kanta lekap dan tidak rabun warna serta pendengaran dalam keadaan baik tanpa sebarang alat bantuan.
“Syarat minimum ukuran fizikal tinggi minimum bagi lelaki adalah 1.62 meter (m) dan wanita ialah 1.60 m; berat minimum untuk lelaki 47.5 kilogram (kg), perempuan 46.5 kg; manakala Body Mass Index (BMI) bagi lelaki 18.0 hingga 25.0 dan wanita 18.0 hingga 23.0,” jelasnya.
Mengulas lanjut, butiran maklumat awal akan disemak dan diproses oleh Sel Pengambilan TLDM serta calon yang berjaya melepasi tapisan akan menerima borong permohonan memasuki perkhidmatan TLDM melalui emel.
“Pemohon perlu melengkapkan maklumat di dalam borang permohonan dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan borang,
“Pemohon yang berjaya atau gagal akan diberitahu melalui e-mel selepas tapisan pada bulan Disember 2022,” jelasnya lagi.
Tambahnya, tiada permohonan secara walk-in hanya calon yang mendaftar atas talian serta memenuhi syarat yang telah dinyatakan sahaja berpeluang dipilih untuk pemilihan.
“Calon yang hadir tanpa surat tawaran tidak akan dipertimbangkan,” katanya lagi. – airtimes.my