KERTEH, 12 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Latihan Helideck Landing Training on Offshore Facilities (HLTOF) di 22 di Pelantar Seligi A di perairan Terengganu, pada Rabu.
TUDM dalam hantaran media sosial rasminya berkata, latihan tersebut bertujuan bagi menguji keupayaan “air element” dalam menangani ancaman keselamatan terhadap pelantar minyak di Malaysia.
“Latihan tersebut telah melibatkan anak kapal dari No 10 Skn, No 5 Skn, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Markas Angkatan Bersama, Markas Tentera Udara-Bahagian Operasi Strategi (MTU-BOS),
“Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1), Pusat Operasi Tentera Udara (POTU), Pusat Operasi Udara Serantau 1 (RAOC 1), PETRONAS dan EnQuest turut terlibat sama,” katanya.
Jelasnya, latihan tersebut merupakan persediaan awal bagi menghadapi Eksesais Jerung Emas yang bakal dianjurkan oleh Markas ATM dan PETRONAS nanti.
Dalam pada itu, objektif latihan tersebut bertujuan bagi melatih dan menyediakan anak kapal yang berkelayakan untuk melaksanakan latihan pendaratan pesawat di pelantar pesisir milik PETRONAS.
“Seramai 20 orang warga ATM dan TUDM dari pelbagai cawangan serta kepakaran telah membuat lawatan ke Weststar Aviation Service Sdn Bhd Kerteh, Terengganu bagi berkongsi tatacara keselamatan penerbangan dan keselamatan pengurusan hangar,
“Ia turut memberi pendedahan terhadap Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) yang telah dipraktikkan di samping mempelajari sistem pengurusan hangar di syarikat berkenaan,
“Delegasi lawatan telah disambut dan diraikan oleh Kapten Ab Fauzan Ab Karim selaku Base Manager Weststar Aviation Services Sdn Bhd,” ujarnya.
Menurut TUDM, latihan dan lawatan yang diadakan telah diketuai oleh Pegawai Memerintah No 10 Skn iaitu Leftenan Kolonel Paranjothi Manogharan TUDM. – airtimes.my