LUMUT, 11 Ogos – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot menyeludup masuk 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia di kedudukan 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, Manjung, pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam kejadian 2.15 pagi itu, PPM Kampung Acheh bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, PPM telah menahan seramai 54 orang lelaki dan 7 wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 39 tahun selaku tekong bot dan 2 lelaki berumur 25 dan 46 tahun selaku pembantu tekong yang juga berasal dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Azizi berkata, kesemua tahanan telah dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM untuk soal siasat dan tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kesemua PATI berkenaan telah dikenakan bayaran berjumlah RM800 hingga RM4,000 kepada sebuah ejen di negara jiran bagi menyusup masuk ke Malaysia,
“Tekong bot yang ditahan turut mengaku telah mula berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. – airtimes.my