Home Semasa Eks LINUD MALINDO 2022: Manifestasi keakraban tentera Malaysia dan Indonesia

Eks LINUD MALINDO 2022: Manifestasi keakraban tentera Malaysia dan Indonesia

by M.Daim

MELAKA, 11 Ogos – Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) dan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) telah melaksanakan latihan bersama Eksesais LINUD MALINDO 2022.

Latihan bilateral ini dilaksanakan dengan gabungan kumpulan pengempur 10 Briged (Para) dan Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat (KOSTRAD).

Pihak Markas 10 Briged (Para) dalam satu kenyataan berkata, latihan bilateral ini melibatkan ketumbukan anggota tentera dari kedua-dua negara iaitu Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA) dan Yonif Para Rider 432.

Anggota dari 17RAMD (Para) dan Yonif Para Rider 432 laksana operasi serangan bersama untuk menawan objektif kritikal semasa latihan medan Eksesais LINUD MALINDO 2022 yang diadakan baru-baru ini. Foto: Airtimes/Hazli

“Objektif pelaksanaan adalah untuk meningkatkan sinergi kedua-dua angkatan darat dalam melaksanakan 𝘈𝘪𝘳𝘣𝘰𝘳𝘯𝘦 𝘖𝘱𝘦𝘳𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯/Operasi Lintas Udara serta bertukar pengalaman dan kepakaran di antara angkatan darat kedua-dua negara,

“Dikesempatan yang sama, pendekatan kepada kesatuan hubungan profesional dan tahap 𝘪𝘯𝘵𝘦𝘳𝘰𝘱𝘦𝘳𝘢𝘣𝘪𝘭𝘪𝘵𝘺 di antara Tentera Darat dan TNI-AD dalam pengukuhan hubungan pertahanan,” kata kenyataan itu.Antara latihan yang dilaksanakan adalah Latihan Silang (Cross Training Exercise), 𝘗𝘢𝘳𝘢 𝘎𝘳𝘰𝘶𝘯𝘥 𝘛𝘳𝘢𝘪𝘯𝘪𝘯𝘨 (PGT) serta Aturgerak 𝘙𝘢𝘱𝘪𝘥 𝘋𝘦𝘱𝘭𝘰𝘺𝘮𝘦𝘯𝘵 𝘍𝘰𝘳𝘤𝘦 (RDF) secara Operasi Lintas Udara,

“Turut dilaksanakan adalah operasi RAID dalam misi Menawan Titik Penting (Critical Point) di belakang garisan musuh bagi menyediakan keperluan kritikal gerakan ofensif ketumbukan induk menumpaskan musuh dan seterusnya penarikan keluar (Extraction) bagi melaksanakan operasi seterusnya,” katanya.

Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Panglima Divisi Infanteri 3 KOSTRAD, Mayor Jenderal TNI Dwi Darmadi menyempurnakan upacara penutupan Eks LINUD MALINDO 2022 di Dataran Parawood. Foto: Airtimes/Hakim

Jelas pihak Markas 10 Briged (Para), latihan ini dilaksanakan selama 10 hari semenjak 1 Ogos di sekitar Kem Terendak dan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) di Melaka serta Pasir Puteh, Kelantan.

Satu upacara penutup telah diadakan di PARAWOOD, Batalion Ke-8 Rejimen Renjer DiRaja (Para) pada 8 Ogos lalu. Upacara ini disempurnakan oleh Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Panglima Divisi Infanteri 3 KOSTRAD, Mayor Jenderal TNI Dwi Darmadi.

Dalam ucapan penutup eksesais, Panglima 10 Briged (Para) menyatakan latihan bilateral ini turut bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan profesional dan ketenteraan diantara Malaysia dan Indonesia serta mengukuhkan lagi kerjasama dua pihak terutamanya dalam pelaksanaan operasi udara bersama.

Operasi lintas udara (airborne) dilaksanakan dengan menggunakan pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia. Operasi penerjunan ini melibatkan anggota tentera dari 17RAMD Para dan Yonif Para Rider 432. Foto: Airtimes/M Daim

“Eks LINUD MALINDO ini merupakan satu manifestasi kepada hubungan yang kukuh dan akrab diantara Tentera Darat dan TNI-AD yang telah terjalin sejak sekian lama,

“Ia diterjemahkan melalui pelaksanaan eksesais yang diterajui oleh 10 Briged (Para) dan KOSTRAD,

“Semoga hubungan ketenteraan ini dapat kita pertingkatkan pada masa hadapan untuk kepentingan bersama selain mengekalkan hubungan yang baik diantara dua ketumbukan angkatan ini,” katanya.

Sementara itu, Mayor Jenderal TNI Dwi Darmadi menyatakan pelaksanaan eksesais dan acara penutup latihan merupakan bukti kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara.

Latihan ketenteraan bilateral Eks LINUD MALINDO 2022 merupakan manifestasi pengukuhan kerjasama ketenteraan dan pertahanan antara Malaysia-Indonesia. Foto: Airtimes/M.Daim

“Kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia sudah terjalin kuat dan tersusun. Kita berharap latihan ini dapat meningkatkan komunikasi baik dari kedua negara khususnya di medan pertahanan dan keamanan,

“Dengan latihan ini, saya berharap ia dapat memupuk silaturahim antara perajurit sehingga terjalinya hubungan harmoni antara negara Malaysia dan Indonesia,” kata Dwi Darmadi.

Upacara penutup diakhiri dengan Penganugerahan Sayap Penerjunan kepada semua pegawai dan anggota 10 Briged (Para) dan TNI-AD yang terlibat telah disempurnakan oleh Panglima 10 Briged (Para) dan Panglima Divisi Infanteri 3 KOSTRAD. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!