KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Laporan Perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) yang dikeluarkan oleh Jawatan Kuasa Kira-kira Wang Negara baru-baru ini menyatakan sebanyak RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lapuk projek New Generation Patrol Vessel (NGPV).
“Sehingga 28 Oktober 2020, jumlah pembayaran yang dibuat oleh Kerajaan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) ialah RM6.08 bilion,
“Sejumlah RM400 juta telah digunakan oleh BNS untuk menyelesaikan hutang lapuk projek lama iaitu NGPV dan RM1.005 bilion diklasifikasikan sebagai cost overrun,” kata PAC dalam halaman 104 laporan itu.
Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman menjelaskan perkara tersebut berlaku berikutan beban hutang yang ditanggung oleh Boustead Holdings dan BNS semasa mengambil alih syarikat PSC Naval Dockyard Sdn Bhd (PSC-NDSB).
Untuk rekod, PSC-NDSB merupakan syarikat yang telah dianugerahkan kontrak 6 daripada 27 buah kapal peronda kelas Kedah pada Rancangan Malaysia Ke-6 (RMK-6).
Konsortium PSC-NDSB dibentuk dengan penswastaan NDSB melalui satu perjanjian pada tahun 1995 dengan satu konsortium yang diketuai oleh Penang Shipbuilding and Construction Sdn. Bhd. (PSC).
Namun begitu, Ahmad Nazim menyatakan kegagalan penswastaan PSC-NDSB telah ditanggung oleh pihak Boustead Holding dan Boustead Naval Shipyard.
“Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi,
“Pengambilalihan ini termasuk hutang bank yang amat besar yang kini terpaksa ditanggung oleh Boustead Holdings dan BNS,
“Maka sebahagian dari wang LCS terpaksa digunakan untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini. Maklumat ini ada dalam laporan PAC,” katanya.
Tegas Ahmad Nazim, projek LCS yang dianugerahkan oleh kerajaan Malaysia kepada BNS telah membuka peluang pekerjaan dan juga rantaian pembekal (vendor) di peringkat pasaran tempatan.
“Namun di sebalik bebanan ini, projek LCS yang dibina oleh syarikat BNS di Malaysia telah membuka peluang kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3000 engineers (jurutera), lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang yang dengan nilai projek lebih RM4 bilion dan ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor ini,” ujar beliau.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Eksekutif LTAT menyatakan projek LCS terhenti pada tahun 2019 namun beliau tidak mendedahkan secara terperinci punca perkara tersebut berlaku.
“Maka sebahagian dari wang LCS terpaksa digunakan untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini. Maklumat ini ada dalam laporan PAC,
“Projek ini terhenti pada tahun 2019 atas pelbagai sebab tetapi kabinet pada April 2022 telah memutuskan untuk menyambung semula pembinaan projek ini berdasarkan opsyen yang paling murah,” jelasnya.
Beliau menambah, keputusan oleh pihak Kabinet telah merangkumi 3 pilihan termasuk pelan penstrukturan semula BNS yang diteliti oleh pihak kerajaan pada pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Kabinet selama 8 bulan.
Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Nazim mengesahkan pembinaan fizikal kapal LCS sedang berjalan.
“Saya boleh sahkan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung. Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak ‘hull’ kapal-kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina,
“Di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama (concurrently). Bukan bina 1, deliver 1,
“Lumut Shipyard besar dan ada kapasiti untuk pembinaan 6 kapal sekali harung,” ujar beliau.
Tambah Ahamd Nazim, beliau terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama-sama Kementerian Pertahanan Malaysia dan TLDM baru-baru ini.
“Saya sudah berkali-kali turun ke Lumut Shipyard yang terletak di dalam pengkalan TLDM dan melawat projek LCS,” ujar beliau. – airtimes.my