KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang remaja tempatan berusia 17 tahun yang disyaki menjadi tekong darat cuba seludup 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Selinsing, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Polis (ACP) Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati 19 lelaki dan 6 perempuan yang berusia antara 15 dan 39 tahun itu diseludup masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.
“Seorang lagi penumpang hadapan yang merupakan lelaki warga tempatan telah berjaya melarikan diri semasa kemalangan berlaku,
“Menurut suspek, beliau dan rakannya yang telah melarikan diri telah bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur pada jam 3.00 pagi bagi menghantar kesemua PATI dengan bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM6,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, kegiatan itu dikesan selepas anggota polis yang melakukan rondaan di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching terserempak dengan suspek yang memandu sebuah Toyota Vellfire dalam keadaan mencurigakan.
“Pihak polis telah menghampiri kenderaan tersebut, namun pemandu bertindak memecut laju dan enggan berhenti,
“Polis telah mengejar kenderaan tersebut dan apabila sampai di Jalan Selinsing, Vellfire tersebut telah melanggar sebuah motosikal yang ditunggang salah seorang anggota polis sehingga menyebabkan terbabas serta melanggar 3 buah kenderaan,” ujarnya.
Menurut Eng Lai, hasil pemeriksaan mendapati 25 PATI yang dibawa masuk ke Malaysia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua suspek ditahan reman bermula 3 Ogos untuk membantu siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – airtimes.my