DAYR QANUN, 2 Ogos – Pasukan Malaysia Battalion 850-9 (MALBATT 850-9) meneruskan kesinambungan bagi memberi sumbangan kepada komuniti Dayr Qanun An Nahr, Selatan Lubnan pada 28 Julai lalu.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerusi hantaran media sosialnya berkata, sumbangan ini telah dikoordinasikan oleh Sel CIMIC MALBATT 850-9 dengan usahasama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hasil sumbangan daripada Kerajaan Brunei Darussalam dan Non-Governmental Organization (NGO) dari Malaysia.
“Sumbangan tersebut merupakan 5 buah kerusi roda, 5 buah Walking Frame, 1 x Medical Bed, Mask KN95, Surgical Mask, Vinyl Gloves, Kiargel, Nitrile Gloves, Suit protective (PPE) serta 15 kotak pakaian,
“Sumbangan telah diserahkan kepada municipality tersebut bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin dalam ucapannya berkata, segala usaha dan sumbangan daripada semua pihak telah kami laksanakan kepada penerima yang berhak.
“Hubungan silaturrahim bersama masyarakat tidak mengira peringkat umur perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberadaan MALBATT di bumi Lubnan. Sumbangan yang diberikan ini adalah untuk pembangunan masyarakat Lubnan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Mayor Dayr Qanun An Nahr, Dr Wael Ezziddine turut merakamkan rasa syukur dan berterima kasih di atas sumbangan yang disampaikan dan akan memastikan sumbangan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Komuniti Dayr Qanun An Nahr yang berada di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) MALBATT.
Majlis sumbangan tersebut telah dilaksanakan di hadapan bangunan Municipality Dayr Qanun An Nahr, Selatan Lubnan. – airtimes.my