KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (Bersara) dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia yang baharu berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan Zulkifeli itu bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamad (Bersara) yang bersara pada 30 Jun lalu.
“Zulkifeli mempunyai pengalaman lebih dari 44 tahun dalam bidang perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan serta menggalas pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
“Saya yakin, melalui pengalaman beliau yang luas serta kepakaran dalam pelbagai portfolio, pelantikan ini tepat pada masanya dan selaras dengan hala tuju negara yang sedang melakar perjalanan ke arah pendigitalan bagi mencapai status ekonomi digital serta berdaya saing,
“Semoga pelantikan ini akan terus memacu CyberSecurity Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Zulkifeli pernah memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat ke-23 pada 21 Mei 2010, seterusnya dilantik sebagai PAT ke-18 pada 15 Jun 2011 sebelum bersara pada 14 Jun 2017.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018 dan merupakan pemacu utama pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara 2017, penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 serta terlibat sepenuhnya dalam pembentukan Agensi Keselamatan Siber Nasional (NASCA).
Zulkifeli mendapat pendidikan awal di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu dan melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi dan Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom. – airtimes.my