Home Semasa Beli minyak petrol, diesel lebih 20 liter perlu permit khas – Alexander

Beli minyak petrol, diesel lebih 20 liter perlu permit khas – Alexander

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 28 Jul – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, syarikat berskala kecil, organisasi atau individu yang layak untuk membeli minyak petrol serta diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan persendirian dibenarkan dengan syarat perlu memohon permit khas.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, permit khas di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 adalah bagi pembelian dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas sahaja.

“Manakala mana-mana pihak yang membeli dengan kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan permit khas,

“Mana-mana pihak yang ingin memohon permit khas boleh berbuat demikian melalui sistem Mysubsidi Permit Khas secara dalam talian di portal http://permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurutnya, keperluan permit khas adalah bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol serta diesel diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Permit khas ini adalah percuma dan tidak dikenakan apa-apa bayaran serta terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan,

“Mana-mana pihak yang telah diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui permit khas ini boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuian mengikut kuantiti harian yang telah diluluskan,” ujarnya.

Katanya, sehingga kini, antara pihak yang sudah mendapat permit khas daripada pihak kementerian adalah pengguna ‘forklift’, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk di kawasan pedalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa iaitu bukan pemegang kad e-nelayan.

Alexander berkata demikian bagi mengulas lapaoran media arus perdana dan laman sosial berhubung larangan pembelian bahan api petrol serta diesel menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas tanpa kebenaran di bawah AKB 1961.

“Di bawah peruntukan undang-undang AKB 1961, setiap stesen minyak mesti mempunyai lesen di bawah akta tersebut bagi membolehkan mereka berurusniaga dengan minyak petrol dan diesel,

“Antara syarat yang ditetapkan bawah lesen terbabit adalah mana-mana stesen minyak tidak dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali ia menggunakan tangki asal kenderaan berkenaan atau yang diluluskan oleh agensi berkaitan,

“Mana-mana pihak yang mendapat kebenaran daripada pihak KPDNHEP bawah peruntukan undang-undang AKB 1961,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!