KUALA LUMPUR, 27 Jul – Pakatan Harapan (PH) menolak Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan menegaskan, RUU berkenaan dilihat tidak memenuhi hasrat reformasi institusi selain mempunyai banyak kepincangan dan kelemahan.
“RUU IPCC mempunyai banyak kepincangan dan lebih lemah berbanding badan EAIC yang wujud sekarang serta RUU IPCMC yang pernah dicadangkan dahulu,
“Sebagai contoh antara lainnya RUU IPCC ini mempunyai kelemahan-kelemahan jelas seperti anggota Suruhanjaya tidak berkecuali dan boleh dilucutkan bila-bila masa tanpa sebab, Setiausaha Suruhanjaya dilantik Menteri Dalam Negeri, manakala EAIC melantik setiausahanya sendiri pada masa ini,” jelasnya dalam kenyataan selepas RUU tersebut diluluskan di Dewan Rakyat menerusi pungutan suara.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dan Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.
Selain itu PH turut menyenaraikan kelemahan RUU berkenaan termasuk tiada kuasa siasatan seperti EAIC; tidak membolehkan Suruhanjaya meneliti hal-hal di bawah Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO) serta tiada peruntukan untuk suatu lembaga tatatertib.
“Oleh itu, PH tidak menyokong RUU IPCC ini,” ujar mereka.
Menurut RUU itu, IPCC akan diberi kuasa untuk mengendalikan perkara berkaitan aduan dan menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah laku. Suruhanjaya itu juga akan menasihati kerajaan mengenai perkara berkaitan integriti dalam pasukan polis.
Ia diperkenalkan pada 2020 bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan PH pada 2019.
Keputusan untuk menggantikan RUU itu dibuat oleh Jemaah Menteri selepas pertukaran kerajaan pada Mac 2020 .
Dalam kenyataan yang sama, PH berpendirian, tetap menyokong penuh RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung anti lompat parti yang bakal dibahas di Parlimen pada hari ini dan esok.-airtimes.my