LUMUT, 25 Jul – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD LAKSAMANA HANG NADIM telah berjaya mematahkan pencerobohan perairan negara di Selat Melaka, semalam.
Menurut Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.15 petang Ahad di Pulau Jarak.
“Pusat Operasi Armada (POA) Barat telah menerima maklumat dari Control Reporting Center (CRC) Kuantan berhubung pengesanan enam BNA berhampiran Pulau Jarak melalui Pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),
“Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada KD LAKSAMANA HANG NADIM yang kekal melaksanakan rondaan di lokasi sekitar lanjutan daripada pengusiran lapan buah BNA yang dilaporkan semalam,
“KD LAKSAMANA HANG NADIM seterusnya melaksanakan tindakan pengusiran kesemua BNA dan kekal membayangi unsur sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara,” katanya.
Tambahnya, perancangan strategik dalam merencanakan operasi berpandukan maklumat dan trend berjaya mematahkan tindakan unsur-unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh kedaulatan perairan negara. – airtimes.my