KUALA LUMPUR, 23 Jul – Kira-kira 100 peserta Perhimpunan #Turun harga barang berhimpun secara aman bagi mengulangi 5 tuntutan terhadap kerajaan di hadapan Kompleks membeli-belah Sogo, hari ini.
Perhimpunan yang berlangsung kira-kira jam 2 petang ini, bagi menuntut 5 perkara iaitu pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri; serta menuntut agar bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat.
Selain itu, mengekalkan subsidi sedia ada serta tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi yang lain, kawal harga barang dan selesaikan masalah jaminan makanan.
Cubaan peserta perhimpunan untuk berarak menuju ke Dataran Merdeka tidak berjaya apabila dihalang oleh pihak polis di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Himpunan ini turut disertai pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz, Ketua dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli.
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Aliff Naif menegaskan perhimpunan ini bagi menyatakan tidak puas hati kepada kerajaan yang mengambil sikap sambil lewa mengenai kenaikan kos sara hidup.
Pada masa sama, beliau menggesa generasi muda supaya tidak takut dan bangkit menentang ketidakadilan.
“Walaupun ada risiko, mahasiswa tidak takut..sebab kita bercakap bagi pihak rakyat, kalau rakyat bersama kita, kenapa kita perlu takut,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Setiausaha Agung MUDA, Amir Abdul Hadi turut mengulangi 5 tuntutan itu untuk memotong gaji menteri ditengah-tengah kesusahan rakyat berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.
“Kenapa kita minta gaji Menteri dipotong, sebab kita ada kabinet yang paling besar sekarang ini dalam harga barang yang terlampau tinggi, minyak masak sehingga RM50 rakyat tidak mampu meneruskan hidup,
“Kita ada ramai menteri yang menubuhkan jawatankuasa inflasi yang kononnya jihad untuk melawan infalasi,
“Tetapi mereka-mereka ini gaji yang tinggi, hidup dengan mudah tidak akan mampu memahami perasaan rakyat dibawah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amir menjelaskan perhimpunan secara aman adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia dan tiada kerajaan tanpa rakyat.
“Bila rakyat bersuara, kita berharap pihak kerajaan dapat dengar apa yang rakyat sampaikan,” jelasnya.
Beliau juga berkata, jika kerajaan tidak mendengar tuntutan rakyat ini, pada pilihanraya akan datang rakyat akan menghukum mereka. – airtimes.my
Galeri gambar: