Home Pertahanan dan Keselamatan Perang Pangkor perkasa kemahiran warga TLDM pertahan kedaulatan perairan negara

Perang Pangkor perkasa kemahiran warga TLDM pertahan kedaulatan perairan negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan Latihan Perang Pangkor di perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) dalam satu kenyataan berkata, latihan tersebut melibatkan 3 buah kapal TLDM iaitu KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD LAKSAMANA HANG NADIM dan KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL.

Perang Pangkor persiapkan kompetensi warga TLDM dalam menghadapi pelbagai situasi demi mempertahankan kedaulatan perairan negara. Foto: TLDM

“Latihan turut melibatkan aset sokongan seperti Fast Combat Boat di sekitar perairan Selat Melaka,

“Pelaksanaan latihan ini merupakan sebuah landasan yang berupaya dan berkesan untuk melatih dan menilai tahap keupayaan aset serta kecekapan warga Navy People di Armada Barat meliputi pelbagai disiplin lapangan,

“Antaranya Ilmu Kelautan, Navigasi dan Latihan Kecemasan semasa beroperasi di laut,” kata kenyataan itu.

Melalui latihan ini, TLDM turut melaksanakan Latihan Menggeledah, Manuvra Taktis, Formasi Bersauh serta Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA).

Jelas TLDM, Latihan Perang Pangkor bertujuan untuk memperagakan kehadiran aset pertahanan angkatan laut negara dan melindungi kepentingan maritim di perairan Selat Melaka.

Anggota TLDM sedang melaksanakan latihan mengawal kebakaran dalam bilik jentera. Foto: TLDM

Tambahnya, latihan sebegini memperkasakan kompetensi warga TLDM sebagai persiapan untuk menghadapi eksesais berskala besar.

“Ini dibuktikan dengan kejayaan KD LEKIR yang mencipta sejarah negara sebagai aset TLDM pertama menembak misil di perairan luar negara semasa Eksesais Rim of Pacific (RIMPAC) 2022 di perairan Hawaii, Amerika Syarikat pada 12 Julai 2022 yang lalu,

“Latihan seumpama ini akan terus dipergiatkan pelaksanaan dalam memastikan Armada Barat sentiasa berada pada tahap kesiagaan yang tertinggi selaras dengan keperluan semasa operasi maritim,” katanya.

Kru kapal sedang menurunkan bot bagi tujuan latihan menggeledah. Foto: TLDM

KD Laksamana Tan Pusmah, KD Laksamana Hang Nadim dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil merupakan aset pertahanan TLDM dari Skuadron Korvet ke-24.

Dalam inventori TLDM, terdapat 4 buah kapal kelas Laksamana dan kesemua kapal ini diperolehi oleh Malaysia pada lewat 1990-an. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!