GEMAS, 19 Jul – Seorang anggota tentera ditimpa nasib malang apabila tangan kirinya hancur dan hampir putus selepas dipercayai tersangkut pada rim motosikal yang diboncengnya dalam kemalangan di hadapan Hospital Tentera Darat Gemas, Kem Syed Sirajuddin, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa yang bertugas di Skuadron Keempat Rejimen Askar Jurutera Diraja (4 RAJD) di kem berkenaan dikatakan dalam perjalanan bagi menghadiri latihan jasmani sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada jaket dan tali beg yang tersangkut pada rantai ketika motosikal yang di bonceng bersama seorang rakan sedang bergerak.
“Berlaku kemalangan jalan raya yang membabitkan 2 anggota tentera di jalan dalam Kem Syed Sirajuddin Gemas. Hasil siasatan awal mendapati penunggang dan pembonceng adalah anggota tentera masing-masing berumur 37 tahun,
“Kejadian berlaku apabila mereka dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar ke Pasukan 4 SKN RAJD di dalam kem berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Anuwal menjelaskan, apabila sampai di hadapan hospital, tiba-tiba baju panas milik pembonceng berpangkat Sarjan itu tersangkut di spoket motor jenis Yamaha Y15 yang dinaiki mereka.
“Ini menyebabkan baju itu terbelit dan menyebabkan pembonceng terjatuh ke sisi kiri motosikal lalu mengakibatkan tangan kirinya termasuk ke dalam rim,
“Akibat kemalangan itu, anggota tentera iaitu pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di tangan kiri, hancur dan hampir terputus serta patah kaki kiri,
“Manakala penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan dan kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain. Pembonceng dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan, Kuala Lumpur,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut masih mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -airtimes.my